Selasa, 8 Oktober 2019

Bukit Aman rekod keterangan Nga hampir 2 jam



   
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menghabiskan masa hampir dua jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk diambil keterangan berhubung hantaran di media sosial yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5, Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid mengesahkan pihaknya telah merekodkan keterangan Nga.

Bagaimanapun katanya polis akan memanggil semula Nga memandangkan anggota parlimen Teluk Intan itu perlu menghadiri sidang parlimen hari ini.

"Kami akan memanggilnya semula selepas ini. Siasatan belum selesai.

"Hari ini, kita terpaksa membenarkan dia pergi lebih awal kerana katanya dia terpaksa pergi ke parlimen," katanya.

Sementara itu bercakap kepada media di luar ibu pejabat polis Bukit Aman, Nga dalam satu kenyataan ringkas menggesa polis menyiasat laman Facebook bekas perdana menteri Najib Razak kerana didakwa memuat naik berita palsu dengan niat untuk memfitnah.

"Disebabkan warganegara terikat kepada undang-undang, saya datang untuk membantu pihak polis dalam satu kes siasatan, dan saya datang sebagai seorang saksi untuk bantu siasatan polis.

"Saya gesa Bukit Aman menyiasat Najib Razak page yang saya dapati telah memuat naik berita palsu dengan mencuba melakukan fitnah jenayah. Dan saya yakin keadilan dan kebenaran akan ditegakkan," katanya.

Terdahulu, Nga tiba pada jam 1.30 petang, diiringi beberapa pemimpin DAP termasuk Anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Anggota Parlimen Batu Gajah V Sivakumar; Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Nga dipercayai diwakili oleh peguamnya, Ramkarpal.

Pada 2 Okt lalu, pengiring Sultan Selangor membuat satu laporan polis terhadap pemilik akaun 'Nga Kor Ming Super Fans Club' yang didakwa menghasut masyarakat Cina membenci Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pemilik akaun berkenaan dikatakan mengajak orang Cina yang tidak puas hati membuat bantahan terhadap Sultan Selangor, susulan keputusan tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di negeri itu.

Najib turut berkongsi hantaran itu melalui akaun Facebook miliknya dan mengaitkannya dengan Nga.
Nga bagaimanapun menegaskan akaun Facebook berkenaan adalah palsu dan hantaran berkenaan merupakan fitnah jahat terhadapnya.

Nga juga menuntut Najib memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana memuat naik hantaran palsu di Facebook untuk menyemai kebencian di kalangan rakyat terhadap beliau dan DAP.

Pada 3 Okt lalu Setiausaha sulit kanan Nga, Tan Tiong Yih membuat laporan polis terhadap Najib kerana berkongsi hantaran yang didakwa palsu.


Tiada ulasan: