Selasa, 8 Oktober 2019

Esok tubuh kerajaan baru kalau betul PM jujur nak perkasa Islam

siti hafidah 

 

Ucapan Tun M di kongres sahkan Islam, Melayu terhakis di bawah PH

BANGI – Kongres Maruah Melayu pada Ahad lalu mengesahkan segala dakwaan UMNO dan PAS selama ini, bahawa kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan kepentingan masyarakat Melayu dan peribumi lain sedang terhakis di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rumusan ahli akademik dan ahli politik biasa-biasa ini, turut diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan penutupnya di kongres berkenaan.

“Menurut Tun Mahathir sikap orang Melayu sendiri yang menggadai kuasa yang diberikan, sehingga akhirnya maruah mereka dipijak dan dipandang hina bangsa lain.

“Jelasnya, orang Melayu yang menjadi bangsa majoriti di negara ini sepatutnya bersatu, tetapi bangsa itu sudah berpecah kepada kumpulan kecil, sehingga tidak mampu menguasai walaupun separuh daripada sokongan rakyat.

“Saya bersetuju gesaan Tun Mahathir agar orang Melayu dan Islam bersatu. Cumanya kita tertanya-tanya, penyatuan yang bagaimana?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamad yang lebih mesra dipanggil Tok Mat berkata, secara rasionalnya, kumpulan kecil umat Melayu dan Islam harus menyertai kelompok yang lebih besar.

“Hari ini kumpulan terbesar orang Melayu dan Islam berada dalam gagasan Penyatuan Ummah. Saya yakin UMNO dan PAS tiada masalah untuk menerima penyertaan Tun Mahathir dan Bersatu ke dalam agenda besar umat Melayu dan Islam ini.

“Persoalannya, apakah Tun Mahathir sanggup berkorban jawatan dan kepentingan, bagi mengangkat semula kuasa umat Melayu dan Islam di negara ini? Insha-Allah jika Tun Mahathir jujur dan mahu melihat Melayu dan Islam menjadi kuasa politik yang kuat, beliau tiada masalah berkompromi dengan UMNO dan PAS.

“Masalahnya hari ini, Tun Mahathir hanya melihat dari sudut pandangan beliau sahaja. Ada pandangan beliau yang betul dan ada juga yang salah. Yang benar kita kena akui benar, namun banyak keputusan kerajaan PH hari ini telah menyebabkan orang Islam dan Melayu marah dan kecewa serta merasa terhina di tanah air sendiri,” kata Tok Mat.

Beliau menegaskan, jika benar Dr Mahathir jujur dan ikhlas mahu kedudukan Melayu dan Islam dipulihkan dan diperkasakan, esok juga Perdana Menteri itu boleh menubuhkan sebuah kerajaan baharu dengan kerjasama BN, PAS dan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.

“Namun UMNO dan PAS harus diberi peranan yang signifikan dalam memulihkan negara ini. Kita tidak mahu menjadi sekadar penumpang sahaja, sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta peribumi lain.

“Buat masa ini pisau dan mentimun di tangan Tun Mahathir. Tetapi bila tiba pilihan raya akan datang, pisau ini sudah di tangan rakyat. Terserahlah kepada Tun Mahathir untuk membuat keputusan, kerana buat masa ini majoriti orang Melayu dan Islam sudah membuat keputusan menolak PH,” katanya.


Tiada ulasan: