Ahad, 6 Oktober 2019

Dr M dakwa Melayu ditekan, dihina sebab salah sendiri

fazleen safina

 

Kerajaan tak kuat kerana perlu ambil kira pandangan kaum lain

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui orang Melayu telah melakukan banyak kesalahan sehingga menyebabkan diri mereka ditekan dan dihina atas kesilapan sendiri.

Lebih memburukkan keadaan katanya, perpecahan politik orang Melayu menyebabkan mereka tidak mampu menguasai sokongan rakyat.

“Orang Melayu yang berpecah menjadi lemah hingga membiarkan orang asing yang datang ke negara ini mengumpul kekayaan,” katanya dalam amanat PM di perhimpunan Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati, di sini hari ini, lapor Bernama.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut mengakui kerajaan sekarang yang masih dipimpin oleh orang Melayu tidak sekuat dahulu.

Beliau berkata, perkara demikian terjadi kerana pemimpin Melayu perlu mengambil kira perasaan dan pandangan daripada pemimpin bukan Melayu.

“Sekarang tidak kuat kerana mahu tidak mahu, kita kena ambil kira perasaan orang lain. Kalau kita tidak ambil kira, datang pilihan raya, kita akan kalah. Inilah hakikat kebenaran yang kita dapat dalam negara kita,” katanya.

Kongres Maruah Melayu adalah anjuran bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).


Tiada ulasan: