Isnin, 7 Oktober 2019

Ahmad Maslan nafi terima wang 1MDB

Ahmad Maslan ketika sidang media di Parlimen, hari ini. 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan menafikan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa beliau salah seorang individu yang menerima jutaan ringgit daripada 1MDB.

Ahmad berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan lanjut apabila SPRM memintanya mengembalikan wang dipercayai dari dana pelaburan kerajaan itu dalam tempoh dua minggu atau mencabar notis berkenaan di mahkamah persekutuan.

“Saya disiasat oleh dua pihak berhubung dakwaan kononnya saya menerima sejumlah wang dikatakan berkaitan 1MDB. Pertama siasatan PDRM dan kedua SPRM sebelum ini.

“Namun saya memaklumkan kepada mereka bahawa saya tidak pernah menerima cek dengan sejumlah yang ditunjukkan salinan cek kepada saya oleh pihak PDRM dan SPRM itu.

“Saya juga sudah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa saya tidak pernah menerima wang seperti yang dinyatakan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, SPRM mengeluarkan notis kompaun ke atas 80 individu dan syarikat dipercayai menerima berjuta-juta ringgit daripada 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, notis kompaun dikeluarkan bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Seramai sembilan individu termasuk adik Najib Razak, Nazir yang juga bekas pengerusi Kumpulan CIMB, Ahmad Maslan dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad, di samping 43 entiti politik dan 23 syarikat disenaraikan menerima sehingga RM420 juta daripada 1MDB.

Latheefa berkata, mereka dikehendaki mengembalikan wang terbabit dalam tempoh dua minggu atau mencabar notis berkenaan di mahkamah persekutuan.

Pada 21 Jun lalu, beliau berkata SPRM membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah akta yang sama, melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.

Tiada ulasan: