Isnin, 7 Oktober 2019

Pemilik Kg Baru berhak tentukan harga, kata badan profesional tanah

Harga yang ditawarkan kerajaan dua minggu lalu mendapat 
reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

KUALA LUMPUR: Pemilik tanah di Kampung Baru sepatutnya diberi peluang untuk melantik wakil atau ejen profesional dalam mengendalikan rundingan harga dengan kerajaan.

Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), Ismail Omar berkata pemilik sebelum ini tidak diberi ruang dan peluang berbanding pihak kerajaan yang mempunyai penasihat dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Dalam memberi khidmat nasihat berkenaan, kemahiran dan kepakaran mengenai logik, kecantikan dan kebenaran tentang nilai dan penilaian hartanah perlu diambil kira,” tulis beliau di Utusan Malaysia, hari ini.

Menurutnya, rata-rata pemilik tertanya-tanya makna harga, nilai hartanah dan siapa yang sepatutnya menentukan nilai tersebut.

“Apabila semua pihak memahami dengan jelas perkara ini, kemelut harga yang berlaku di Kampung Baru boleh diredakan.

“Secara umumnya, harga adalah bayaran yang dibuat pembeli dan nilai adalah apa yang diterimanya. Nilai pula adalah sejumlah wang yang boleh diperoleh daripada hartanah,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menawarkan harga sehingga RM850 sekaki persegi dan kemudian menambah lima peratus. Kebanyakan pemilik tanah pula membuat permintaan harga sehingga RM2,000 sekaki persegi.

Dua hari lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata laporan media mengenai 90 peratus pemilik tanah Kampung Baru bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap kaki persegi seperti yang ditawarkan kerajaan, adalah tidak tepat.

Sebaliknya Khalid berkata apa yang dimaksudkan dengan 90 peratus itu, adalah pemilik yang bersetuju menjual dan bersetuju dengan Projek Pembangunan Kampung Baru itu, tetapi mahukan harga yang lebih tinggi.

Menurut Ismail, kedua pihak antara kerajaan dengan pemilik tanah perlu mencapai kata sepakat iaitu situasi menang-menang dan rundingan dibuat secaran telus atau bona fide.

“Pemilik yang sebenarnya akan membuat keputusan muktamad dengan nilai untuk jualan bagi hartanah mereka.

“Walau apa pun kedua-dua kerajaan dan pembeli mahukan harga menang-menang supaya projek pembangunan semula menguntungkan rakyat boleh dijalankan dengan jayanya,” katanya.

Tiada ulasan: