Selasa, 4 Jun 2019

Mengapa takbir raya disebut sebagai Perang Ahzab?


Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Segelintir umat campur adukkan fahaman liberalisme, pluralisme



1. Sedar atau tidak, dalam lafaz takbir raya kita sering diingatkan tentang peristiwa Perang Ahzab. Peristiwa ini termaktub di dalam lafaz:

صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ

“Allah SWT telah membenarkan janjinya, membantu hambanya, dan mengalahkan pakatan al-Ahzab dengan sendirinya.” (HR Muslim)
2. Menurut al-Imam al-Nawawi, perkataan Ahzab di dalam lafaz takbir ini merujuk kepada Perang Khandaq atau dikenali juga dengan Perang Ahzab. Kata al-Nawawi:


والمراد بالأحزاب الذين اجتمعوا يوم الخندق وتحزبوا على رسول الله

“Dan yang dimaksudkan dengan al-Ahzab (di dalam lafaz ini) adalah mereka yang berpakat di dalam Perang Khandaq untuk memerangi Rasulullah ﷺ.” (al-Nawawi, Sharh Muslim).

3. Jadi, mengapa Takbir Raya ini mengingatkan kita tentang Perang Ahzab ini?

Perang Ahzab berlaku ketika serangan orang kafir itu datang dari segenap pelusuk untuk menghapuskan perjuangan Islam. Firman Allah SWT:

إِذْ جَاءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ

“Dan ketika mereka datang dari atas dan bawah kamu.” (al-Ahzab: 10)

4. Bererti Perang Ahzab ini mengingatkan kepada kita tentang situasi yang sangat genting yang pernah dihadapi oleh Rasulullahﷺ serta para pejuang Islam. Peringatan ini kekal sehingga hari ini.

Hari ini, umat Islam ditekan dan di asak dari atas dan bawah. Tekanan berlaku dalam bentuk fizikal (seperti peperangan ke atas umat Islam), begitu juga tekanan mental dari aspek serangan ideologi seperti Liberalisme, pluralisme dan sekularisme.

5. Ketika asakan serta tekanan dikenakan ke atas kaum Muslim dalam Perang Ahzab, kumpulan munafiq pula datang menimbulkan keraguan dari dalam. Perkara ini direkodkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

وَإِذْ قَالَتْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ يَا أَهْلَ يَثْرِبَ لا مُقَامَ لَكُمْ فَارْجِعُوا

Dan juga masa itulah golongan munafiq antara mereka berkata: “Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah”. (al-Ahzab: 13)

6. Ayat ini mengingatkan kita bagaimana kumpulan munafiq ini datang untuk meragukan kaum muslimin tentang perjuangan mereka, malah menakutkan muslim tentang ancaman serta risiko yang bakal dikenakan kepada mereka.

Begitulah juga yang berlaku hari ini, terdapat kumpulan muslim yang meragukan kefahaman tentang Islam, mereka mencampur-adukkan fahaman liberalisme dan pluralisme ke dalam pemikiran muslim.

7. Bukan sahaja takbir ini mengingatkan kita tentang kesusahan perjuangan Rasulullahﷺ membawa Tauhid, ia juga adalah ikrar kita untuk memerangi kekufuran sekalipun dibenci oleh orang kafir. Ia termaktub dalam lafaz:

وَلَا نَعْبُدُ إلَّا اياه مُخْلِصِينَ له الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

“dan kami tidak menyembah selain Allah SWT, dalam keadaan ikhlas dan bagiNya adalah agama (kami patuh ajaran agama), sekalipun dibenci oleh orang kafir.”

8. Anehnya hari ini, terdapat dikalangan kita yang lebih menjaga hati si kafir berbanding menjaga hak Allah SWT. Mereka lebih lunak bersama orang kafir namun bersikap keras terhadap saudara muslim.

Sedarlah kita bahawa inilah takbir yang kita ikrarkan setiap hari perayaan. Orang beriman tidak bimbang dibenci kafir ketika berjuang meletakkan Islam yang tertinggi.
Semoga Allah membimbing kita semua.

*Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies


Tiada ulasan: