Khamis, 13 Jun 2019

Laporan dibuat SU Politik memadai untuk polis siasat penularan video lucah – Azmin Ali

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan laporan polis yang dibuat oleh setiausaha politiknya pagi tadi di Putrajaya sudah memadai untuk pihak berkuasa itu menyiasat mengenai penularan satu video lucah yang cuba dikaitkan dengannya.

Beliau berkata walaupun laporan itu bukan dibuat olehnya sendiri, namun ia dilakukan berdasarkan pandangan daripada peguam-peguamnya dan dilihat cukup untuk polis menjalankan siasatan lanjut.

Ditanya sama ada pihaknya mengenali pelaku dalam video berkenaan, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan beliau hanya mengenali individu itu dari jauh.

“…sebab dia anggota parti (PKR), pernah menjadi anggota parti dan kemudian sertai parti pembangkang. Setelah kita (Pakatan Harapan) menang (pada Pilihan Raya Umum ke-14), (dia) lompat balik ke dalam PKR.

“Ia merupakan karakter individu yang diperalatkan dalam fitnah ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kumpulan anak syarikat perbadanan itu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau mengesyaki mana-mana pihak yang mendalangi penularan video lucah dikaitkan dengannya itu, Mohamed Azmin menegaskan dirinya tidak akan membuat sebarang tuduhan melulu.

Mengulas mengenai timbulnya video lucah itu ibarat satu sabotaj oleh pihak tertentu susulan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk menyerahkan tampuk pentadbiran negara kepada calon yang layak, Mohamed Azmin enggan membuat sebarang spekulasi.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi terhadap kuasa perdana menteri dalam menentukan calon yang terbaik untuk menyandang jawatan nombor satu dalam pentadbiran negara kerana yang penting, ianya (calon perdana menteri) mestilah diterima oleh majoriti rakyat untuk kepimpinan akan datang,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya tiada lagi mana-mana pihak memilih ‘jalan kotor’ seumpama itu (menular video lucah) sekiranya wujud perbezaan pendapat atau ada individu tidak berjaya memberikan satu khidmat yang diterima oleh rakyat.

Tegasnya, dalam era Malaysia Baharu, semua pihak seharusnya berpegang kepada aspek politik nilai selain mempunyai prinsip yang jelas supaya tidak mudah terjebak dengan konsep politik yang kejam dan jijik seperti itu.

Tambah beliau, teguran yang dibuat Dr Mahathir supaya politik di negara ini lebih bersih harus diberi perhatian serius oleh semua pihak khususnya pimpinan parti kerana rakyat masa kini dambakan satu kerajaan yang dapat menyelesaikan masalah ekonomi, kos sara hidup selain berusaha menggalakkan pelaburan dalam negara.

“Jadi, semua pihak bertanggungjawab untuk berikan dan sediakan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak menggugat kestabilan kerajaan hari ini.

“Saya menyeru kepada rakan-rakan supaya ambil serius teguran perdana menteri kerana akhirnya kita yang bertanggungjawab kepada Allah SWT dan rakyat di negara ini,” katanya. –Bernama 

Tiada ulasan: