Ahad, 16 Jun 2019

Ahli harus faham konsep tahaluf siyasi Pas-UMNO – Hadi

Manzaidi Mohd Amin
Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Kira-kira 90 peratus pengundi bukan Islam mengambil keputusan mengundi calon Pakatan harapan (PH) pada PRU-14, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, sikap kira-kira 30 peratus pengundi muda membuat pilihan salah juga antara faktor Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta setiap ahli memahami bahawa banyak perkara tersirat dalam usaha parti itu mengadakan tahaluf siyasi dan bertaawun dengan UMNO, MIC dan MCA.

Katanya, MIC dan MCA adalah parti bukan Islam yang tidak ekstrem, malah memberi kerjasama yang menyenangkan sepanjang berada dalam BN, termasuk ketika bersama dengan Pas.

“Selepas PRU-14, negara telah menghadapi krisis fahaman politik berikutan pimpinan negara yang didominasi oleh parti ekstrem yang jelas menunjukkan sikap melampau terhadap Islam.

“Menerusi suasana politik itu, Pakatan Harapan (PH) kini didominasi golongan ekstrem yang berani membuat kenyataan mengenai Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) kaki ke-59 di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City dekat Kuantan hari ini.

Hadir sama, Ketua DMPM, Nuridah Salleh dan barisan kepimpinan Pas Pusat serta DMPM yang memang tanpa bertanding.

Kata Abdul Hadi, akibat krisis politik, masyarakat telah bertindak di luar dugaan apabila marahkan UMNO mereka ‘membakar kelambu’.

“Kita juga tidak bersetuju dengan BN tetapi kita tidak mahu mudarat yang besar apabila berlaku perubahan politik.

“Dengan itu, kita perkenalkan politik Islam seperti bertahaluf dan berta’awun dengan orang Islam (UMNO) dan bukan Islam (MIC dan MCA) yang boleh berbincang serta berbicara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: