Khamis, 21 Mac 2019

TOK MAD BOLEH MENANG-IBRAHIM ALI


Faktor anak tempatan dan rekod cemerlang sebagai wakil rakyat selama tiga penggal lalu menjadi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berkata beliau menyokong Mohamad Hasan dalam PRK 13 April depan sebagai kenalan lama yang amat dihormati.

“Beliau dikenali sebagai seorang yang berhemah, mempunyai watak Melayu sejati dalam dirinya.
Beliau antara pemimpin UMNO yang banyak menyokong Perkasa sejak awal penubuhan pada 2008, terutama Perkasa Negeri Sembilan.

“PRK ini hanya kesinambungan kepada khidmat beliau. Kalau semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu berlaku pertandingan, saya yakin beliau menang. Beliau ada rekod yang baik dan merupakan anak tempatan,” katanya kepada media dalam Program Minum Petang Perkasa di Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan pada Rabu.

Walaubagaimanapun, Ibrahim Ali berkata PERKASA masih belum mengambil keputusan untuk menyokong mana-mana pihak dalam PRK tersebut.

Katanya lagi, Mohamad Hasan yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan tidak boleh memandang remeh calon PH, S. Streram dan perlu bekerja gigih.

“Keadaan sudah berubah, dulu beliau calon parti kerajaan, sekarang parti pembangkang. Jauh bezanya.

“Beliau kena bergantung kepada hubungan dengan rakyat yang terjalin semasa tiga penggal menjadi wakil rakyat dan Menteri Besar,” katanya.


Tiada ulasan: