Khamis, 21 Mac 2019

RAMLI SERU PH BANTU ORANG ASLI


Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor menyeru kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membantu memperkasa ekonomi dan masa depan masyarakat Orang Asli seperti yang telah dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Dalam penampilan sulungnya membahas titah diraja di Parlimen, Ramli turut mengucapkan terima kasih atas perjuangan gigih kerajaan lama BN dalam membela nasib orang Asli di seluruh negara.

“Hanya Allah juga yang dapat membalas jasa tersebut. Jasa kerajaan BN dahulu tidak dapat dilupakan oleh masyarakat Orang Asli kerana ia memperkasakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan institusi Tok Batin, mengutamakan kemajuan pendidikan untuk masyarakat Orang Asli dan juga memperkasakan pasukan bersenjata senoi praaq lambang perjuangan dan kegagahan masyarakat Orang Asli. Begitu juga dalam sektor dan aspek ekonomi Orang Asli.

“Jika terdapat kelompongan atau kekurangan, menjadi tanggungjawab dan kewajipan kerajaan baharu hari ini untuk menyempurnakan dan melaksanakan agenda memajukan masyarakat Orang Asli dengan lebih gigih dan pencapaian hendaklah melebihi apa yang dicapai oleh kerajaan sebelum ini.

“Tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat berketurunan Orang Asli termaktub secara perundangan di bawah perkara 8(5)(C) Perlembagaan Malaysia dan ianya tidak boleh dikompromi,” katanya di Parlimen pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ramli berkata kerajaan negeri dan Persekutuan sepatutnya mampu memberi penyelesaian yang baik terhadap tuntutan masyarakat Orang Asli seperti masalah tuntutan tanah.
Katanya hak masyarakat orang asli itu turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri sama ada pembangkang ataupun diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya menghadapi apa-apa masalah dalam isu kemelut tuntutan tanah oleh masyarakat Orang Asli sama ada di bawah subjek tuntutan tanah adat kerana undang-undang tinggi negara ada memberi ruang kepada kerajaan negeri berbuat demikian asalkan berpatutan.

“Pada pendapat saya adalah jelas semasa Perlembagaan Malaysia digubal, penggubal-penggubal telah mengambil kira kepentingan dan kebajikan masyarakat Orang Asli Semananjung iaitu wajib dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah tanpa dolak-dalik,” katanya.


Tiada ulasan: