Mahkamah tetapkan sebutan semula kes pada 30 April ini
JOHOR BAHRU
– Seorang pemandu lori dan dua pengarah sebuah syarikat didakwa di
Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan buangan
terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim
Kim, Pasir Gudang pada 7 Mac lalu.
Tertuduh
N.Maridass, 35, Wang Jing Chao, 34, dan Yap Yoke Liang, 36, kesemuanya
lelaki, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan
Hakim Jailani Rahman.
Berdasarkan
kertas pertuduhan, Maridass yang berkhidmat sebagai pemandu lori di
syarikat pemprosesan tayar terpakai, didakwa melupuskan buangan
terjadual tersebut ke dalam Sungai Kim Kim dengan menggunakan lori jenis
Mitsubishi dan semi trailer tangki sawit.
Pelupusan dilakukan tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
Wang dan
Yap pula yang masing-masing merupakan pengarah syarikat tersebut didakwa
bersuhabat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke
dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.
Ketiga-tiga
perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tapak projek pelebaran
jambatan Sungai Kim Kim antara pukul 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7
Mac lalu.
Maridass
didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 B(4) Akta sama yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM500,000.
Wang dan
Yap didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling
1974 yang dibaca bersama dengan Seksyen 42 Akta sama dan boleh dihukum
di bawah Seksyen 34 B(4) yang membawa hukuman penjara maksimum lima
tahun dan denda RM500,000.
Kes
dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraff Md Kamal
manakala Maridass diwakili peguam Ratakrishna, Wang dan Yap Yoke Liang
pula diwakili peguam G.Subramaniar Nair.
Dalam pada
itu, Muhammad Asyraff meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang
jaminan kepada kesemua tertuduh memandangkan kesalahan tersebut adalah
berat dan serius selain menjadi perhatian umum kerana membabitkan
kesihatan ribuan masyarakat di kawasan tersebut.
Selain itu, beliau mengambil kira kemungkinan suspek melarikan diri.
Namun
dalam rayuan mereka, kesemua tertuduh menerusi peguam masing-masing,
memohon mahkamah supaya meringankan jaminan dengan alasan tertuduh
mempunyai tanggungan yang ramai, tidak berkemampuan dan tidak berniat
atau merancang untuk melarikan diri.
Mahkamah
kemudian menetapkan jaminan RM100,000 terhadap Maridaas dengan seorang
penjamin; RM250,000 dengan seorang penjamin terhadap Yap dan pasport
diserahkan kepada mahkamah manakala tiada jaminan terhadap Wang yang
merupakan warga Singapura.
Mahkamah menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Wang, Yap dan seorang lagi pengarah dijangka menghadapi 15 pertuduhan pagi esok.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan