Ahad, 17 Mac 2019

Terlalu ramai sukarelawan membantu mangsa serangan Christchurch - Imam Shazly

Asyraf Roslan, Astro Awani
Terlalu ramai sukarelawan membantu mangsa serangan Christchurch - Imam Shazly
Orang ramai mengadakan jualan but kereta di masjid di Hamilton, bertujuan antara lain, bagi mengutip dana untuk mangsa serangan pengganas di Christchurch. - Foto Imam Shazly
 

KUALA LUMPUR: Susulan kejadian serangan pengganas di dua masjid di Christchurch Jumaat lalu, limpahan sukarelawan kini memenuhi kawasan itu, baik dari kalangan orang Islam mahu pun bukan Islam, menghulurkan pelbagai bantuan.

Rakyat Malaysia yang bertugas sebagai Imam Masjid Khadija di Hamilton, Imam Shazly Khan berkata, sudah terlalu ramai yang membantu hingga mereka dinasihatkan supaya tidak memenuhi kawasan itu.

"Kami sekarang ini diberitahu supaya jangan mengambil langkah untuk datang, kerana terlalu ramai sukarelawan, Muslim dan bukan Muslim, di Christchurch.

"Dan segalanya dalam keadaan terkawal, kalau (kami) datang lagi, (akan jadi) terlalu ramai, 'redundant', tiada apa hendak dibuat. Semuanya sudah berjalan lancar.

"Kami diberitahu supaya jangan datang, jangan penuhkan lagi. Malah, di tempat yang diberikan penginapan percuma pun, sudah penuh. Ia sangat luar biasa. Alhamdulillah," katanya.

 Shazly berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI dan diajukan soalan sama ada beliau akan terlibat menghulurkan bantuan kepada mangsa serangan itu atau pergi ke Christchurch.

Tambahnya, sokongan yang diberikan oleh orang ramai memberi kesan yang amat positif kepada mangsa terlibat dan keadaan di sana juga dilihat semakin stabil dan mula kembali normal.

Kebanyakan masjid juga, katanya, sudah mula berfungsi seperti biasa dan umat Islam di sana sudah mula menghadirkan diri ke rumah ibadah tanpa ada perasaan ragu-ragu.


Tiada ulasan: