Ahad, 17 Mac 2019

Jangan sebar, kongsi rakaman video tembakan di masjid Christchurch

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan rakaman video insiden tembakan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang berlaku hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak berkata tindakan itu perlu bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang suasana panik dan marah dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata pada masa yang sama, SKMM akan bekerjasama dengan penyedia-penyedia perkhidmatan untuk menurunkan rakaman berkenaan.

Menurut beliau, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

SKMM, katanya, memandang serius perkara itu dan mana-mana pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

Media hari ini melaporkan kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch dipercayai menyebabkan sekurang-kurangnya 49 maut setakat ini, manakala seorang rakyat Malaysia disahkan cedera dalam kejadian berkenaan.—Bernama

Tiada ulasan: