Sabtu, 9 Mac 2019

Orang Melayu, Islam harus takut dengan Umno-PAS, kata bekas ahli Parlimen

Bekas ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar bersama 
pengerusi acara, Yoke Ling Chee di wacana sejarah dan kesan 
buruh kontrak di Malaysia, di Brickfields hari ini.
KUALA LUMPUR: Seorang bekas ahli Parlimen berkata masyarakat Melayu dan Islam perlu merasa bimbang dengan pakatan Umno-PAS, mengatakan sudah masanya mereka mempersoalkan jenis fahaman yang dibawa kerjasama itu.

Bekas ahli Parlimen Sungai Siput, Dr M Jeyakumar khuatir gandingan Umno-PAS akan membawa fahaman yang terlalu konservatif, lebih menekan, menghukum dan mengawal, dan tidak selari dengan peredaran zaman.

“Orang Melayu dan Islam harus takut kerana jika Umno-PAS pegang semula kerajaan persekutuan, apakah jenis fahaman yang mereka akan gunakan untuk masyarakat Islam dan Melayu?

“Saya sebenarnya lega dengan cara Mujahid Yusof Rawa dan Dr Dzulkefly Ahmad,” katanya merujuk kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan menteri kesihatan dari Amanah.
Pemimpin Parti Sosialis Malaysia itu ditemui di suatu wacana mengupas sejarah dan kesan buruh kontrak di Malaysia, di Brickfields hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memberi jaminan kerjasama Umno-PAS tidak akan menjejaskan mana-mana kaum dan agama, sebaliknya dilakukan untuk membawa agenda penyatuan ummah.

Hari ini, Mohamad dilapor berkata kedua-dua parti dalam perbincangan untuk membentuk kerajaan campuran di 4 negeri yang ditadbir mereka iaitu di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis.

Jeyakumar berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu segera mengatasi ketakutan orang Melayu yang menganggap gabungan itu tidak membela nasib bangsa dan Islam.

Beliau menyarankan kerajaan supaya mencari penyelesaian ekonomi kepada isu-isu yang membelenggu kaum itu.

“Kerajaan hari ini perlu selesaikan masalah kemiskinan dalam kalangan B40, kerana lebih ramai kalangan B40 terdiri daripada orang Melayu berbanding kaum lain

“Walaupun PSM ada masalah dengan PH tetapi kita masih mahu PH kekal. Jika PH kalah dan kerajaan kembali kepada Umno-PAS, untuk masyarakat Malaysia, ia satu langkah kebelakang,” katanya.

Tiada ulasan: