PETALING JAYA: PPBM dan Umno mengecam perarakan hak wanita di ibu negara padi tadi sempena Hari Wanita Sedunia dicemari tindakan pihak tertentu yang membawa isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Wan Saiful Wan Jan membidaskan tindakan mencampur adukkan agenda wanita dengan agenda LGBT, menyifatkan ia sebagai “amat menjengkelkan”.
“Perjuangan menuntut hak-hak kaum wanita adalah perkara yang dihormati, mulia dan wajar disokong. Tetapi mencampurkan agenda ini dengan agenda LGBT adalah satu provokasi terhadap kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau mengingatkan tindakan “mementingkan diri sendiri” lebih dari suasana masyarakat boleh membawa kepada gagalnya reformasi dan pembaikan yang sedang dilaksanakan sekarang.
Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad menggesa kerajaan agar tidak tunduk dengan apa sahaja desakan kumpulan LGBT.
Beliau berkata golongan itu mempunyai hak seperti rakyat yang lain, tetapi hak kerajaan ialah menghalang mereka melakukan aktiviti tidak bermoral.
“Sekiranya LGBT diiktiraf dan bebas melakukan apa sahaja aktiviti mereka, maka mereka akan merasakan mereka benar dan dilindungi undang-undang,” katanya.
“Akibatnya, akan lahir pula generasi baru dalam kalangan mereka.”
Noraini berkata tindakan penyokong LGBT membawa bendera pelangi, yang menjadi lambang golongan tersebut, dan sepanduk berkaitan dikhuatiri akan menjadi punca kerosakan institusi sosial yang lebih besar.
Mereka mengulas perarakan “Hentikan Keganasan, Hormati Perempuan” dari kompleks beli belah Sogo hingga ke jambatan “River of Life” berdekatan Dataran Merdeka di ibu negara pagi tadi.
Perhimpunan itu didakwa disertai penyokong LGBT yang melaungkan slogan berkaitan dan membawa bendera pelangi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa membidas tindakan pihak tertentu menyalahgunakan himpunan hak wanita untuk membawa isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Beliau berkata ruang tunjuk perasaan sempena Hari Wanita Sedunia itu tidak patut digunakan untuk mempertahankan sesuatu yang salah di sisi undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan