ISMA WEB
SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Pasir Putih ditutup semula
JOHOR BAHRU
– Jumlah mangsa pencemaran ekoran pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim
Kim, Khamis lalu, meningkat mendadak kepada 207 orang setakat jam 11
malam tadi, susulan gelombang kedua tengah hari tadi.
Pada masa
sama, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, ditutup semula selepas kejadian
tengah hari semalam.
Pengarah
Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, gelombang kedua
itu membabitkan majoriti kes pelajar SK dan SMK Taman Pasir Putih.
Beliau
berkata, setakat jam 11 malam tadi, 29 orang dihantar ke klinik
kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan, manakala 77 mangsa dirujuk ke
Hospital Sultan Ismail (HSI) dengan 35 daripada mereka ditahan di wad
untuk rawatan lanjut.
“Daripada
jumlah 35 mangsa ditahan itu, empat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi
(ICU). Selepas 16 pesakit daripada gelombang pertama telah dibenar
pulang, jumlah terkini yang masih berada di HSI adalah 44 orang (enam di
ICU dan 38 orang di wad HSI),” katanya dalam kenyataan di sini, malam
tadi.
Beliau berkata, daripada jumlah 44 orang di HSI, 11 adalah orang dewasa dan 33 adalah murid sekolah.
Mangsa pencemaran dilaporkan mengalami pedih mata, loya, muntah, pening, sakit dada dan sesak nafas.
Kedua-dua SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Pasir Putih kini telah ditutup semula.
Khamis
lalu, kedua-dua sekolah itu diarahkan tutup berikutan pencemaran udara
ekoran pembuangan sisa kimia ke Sungai Kim Kim yang berhampiran oleh
pihak tidak bertanggungjawab, dan ia dibuka semula pagi tadi, selepas
disahkan selamat, namun pada tengah harinya kejadian sama berulang.
Kira-kira
lima jam selepas sesi sekolah bermula ramai pelajar dan guru dari dua
sekolah berkenaan mengadu mengalami simptom seperti muntah, loya dan
sakit kepala sehingga menyebabkan 61 orang dirawat di HSI sehingga jam
5.30 petang tadi.
Dr
Selahuddin menasihati murid dan penduduk tempatan agar segera
mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai gejala pedih mata, sakit dada
dan sesak nafas dan disyaki terhidu dan terdedah kepada bahan kimia
tersebut.
Selain itu, orang ramai diminta menggunakan air terawat untuk aktiviti harian.
“Kerap
mandi dan pakaian yang digunakan hendaklah dibasuh berasingan setiap
kali keluar dari rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa toksik terkena
di anggota badan,” katanya.
Selain
itu, beliau meminta orang ramai jangan mendekati atau melakukan aktiviti
riadah berdekatan kawasan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.
Sementara
itu, tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang ditahan kerana disyaki
membuang sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Khamis lepas.
Mereka
yang ditahan terdiri daripada pemilik kilang memproses bahan kimia
berusia dalam lingkungan 50-an dan pemilik kilang memproses bahan lusuh
berusia 40-an bersama pekerjanya berusia 50-an.
Pengarah
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Mohammad Ezzani Mat Salleh
berkata pemilik kilang memproses bahan kimia itu ditahan petang semalam
manakala dua yang lain ditahan pukul 12.30 tengah hari ini.
“Kami
tangkap dan serah kepada polis untuk siasatan mengikut Seksyen 34B Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya kepada pemberita ketika ditemui
di luar kilang memproses bahan lusuh yang terletak 500 meter dari lokasi
pembuangan sisa itu.
Khamis
lalu media melaporkan 1,400 pelajar sekolah SK dan SMK Taman Pasir Putih
diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami
sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada
bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.
Mohammad
Ezzani berkata, pemilik kilang memproses bahan kimia ditahan berdasarkan
analisis kimia yang dilakukan JAS manakala seorang lagi pemilik kilang
ditahan bersama bahan kimia yang serupa atau sepadan dengan yang dibuang
ke sungai itu.
Beliau
berkata, kilang memproses bahan kimia di Kulai adalah berdaftar dan
pernah disita sebelum ini berikutan pencemaran manakala bagi kilang
memproses bahan lusuh di sini, pihak berkuasa tempatan masih dalam
proses untuk mendapatkan pengesahan pendaftaran kilang itu.
“Kedua-dua
kilang kini disita dari beroperasi…kami akan ambil tindakan, buka
kertas siasatan dan pendakwaan di mahkamah. Kalau boleh dalam minggu ni
juga…bergantung kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya dan siasatan
polis,” katanya.
Sementara
itu, tinjauan di kilang memproses bahan lusuh hari ini mendapati tiada
pekerja lain kelihatan manakala keadaan sekeliling terbiar dengan
pelbagai barang buangan dijumpai sekeliling syarikat itu. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan