Rabu, 13 Mac 2019

Khaled: K'jaan Johor lemah, tak tegas tangani pencemaran kimia

MALAYSIAKINI

   

Bekas menteri besar Johor Khaled Nordin menyifatkan kerajaan negeri setakat ini gagal menangani masalah pencemaran kimia di Johor Bahru.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak menunjukkan ketegasan dalam menangani masalah itu, yang setakat ini mengakibatkan lebih 200 dimasukkan ke hospital.

"Paling merisaukan, tiada jaminan atau kepastian daripada kerajaan negeri atau pihak berwajib.
Adakah ia berada dalam keadaan terkawal dan diurus dengan baik? Adakah Pasir Gudang kini selamat... Atau (masalah) akan terus merebak dan menjadi semakin kronik?

"Semua ini tak dijelaskan oleh kerajaan negeri sekaligu menimbulkan panik dan takut di kalangan orang awam. Malah kita tidak pasti adakah kerajaan negeri melakukan penilaian komprehensif dan ada pelan tindakan yang jelas," katanya dalam kenyataan.

Pencemaran kimia itu disyaki berpunca daripada pembuangan sisa toksik secara haram di Sungai Kim Kim.

Khamis lalu media melaporkan 1,400 pelajar SMK Pasir Putih dan SK Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila ada pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada pencemaran itu.
Insiden ‘gelombang kedua’ pencemaran mengakibatkan 209 dirujuk ke Hospital Sultan Ismail setakat malam tadi.

Semalam Menteri Besar Johor Osman Sapian membuat kenyataan pertama berkenaan perkara itu, dengan mengarahkan sekolah di sepanjang sungai itu ditutup dan berikrar tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Khaled menggesa jawatankuasa kerja mendalami perkara itu secara lebih serius dan "bukan sekadar keluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan".

"Sediakan wakil khas dari kerajaan negeri untuk berurusan dan memberi perkembangan terkini kepada semua mangsa dan keluarga terlibat, media dan orang awam.

"Saya juga minta diasingkan satu peruntukan khas untuk membantu semua mangsa dan disalurkan dengan segera," katanya lagi.

Apa yang berlaku ini, katanya lagi, menunjukkan kelemahan kerajaan negeri dalam memastikan kualiti alam sekitar dan keselamatan awam di Pasir Gudang - sebuah kawasan industri.

Polis setakat ini telah menahan tiga individu, termasuk dua pemilik kilang, kerana disyaki terlibat dalam pembuangan sisa bahan kimia di sungai itu.

Tiada ulasan: