Rabu, 13 Mac 2019

'Orang Melayu akan tolak jika hapus maklumat kaum dari daftar pemilih SPR'



  
Sebarang tindakan untuk menghapuskan maklumat kaum pengundi di dalam daftar pemilih pilihan raya tidak akan menyatukan rakyat Malaysia, khususnya pada peringkat awal pelaksanaannya.

Pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata ini disebabkan langkah itu akan ditanggapi sebagai cubaan kerajaan PH untuk menghakis hak keistimewaan dan pengaruh orang Melayu dalam politik.

"Idea memadamkan butiran kaum dalam daftar pemilih akan mengundang penolakan orang Melayu yang dilihat sebagai menafikan hak-hak istimewa Melayu dalam perlembagaan.

"Tindakan itu akan ditanggapi sebagai sebahagian daripada agenda politik Pakatan Harapan untuk mengurangkan pengaruh orang Melayu dalam politik," katanya melalui pesanan teks kepada Malaysiakini.

Selanjutnya, beliau berkata idea itu akan ditolak dan PH akan ditanggapi sebagai tidak sensitif.
"Ia susah untuk dicapai dan akan mencipta banyak penolakan terhadap urus tadbir PH kerana idea ini dianggap tidak sensitif," katanya.

"Tindakan tersebut tidak akan membantu untuk menyatukan rakyat Malaysia, khususnya pada peringkat awal ia diperkenalkan," katanya lagi.

Agihan kerusi, rancang strategi pilihan raya

Awang Azman mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun yang berkata SPR akan mengkaji jika terdapat keperluan untuk menghapuskan maklumat kaum pengundi dalam daftar pemilih.

Ketika wawancara dengan stesen radio perniagaan BFM pada Selasa lalu, Azhar ditanya mengenai tanggapan untuk membuang pengenalan berdasarkan kaum supaya dapat mengurangkan ucapan dan janji yang bersifat perkauman.

"Kami telah membincangkan perkara ini dalam masa yang lama sekiranya maklumat kaum perlu dimasukkan ke dalam kad pengenalan dan kini sudah tentu pula kami perlu menghadapi persoalan jika butiran kaum perlu dilupuskan dari daftar pemilih pilihan raya," jawab Azhar.

Pada masa ini, parti-parti politik daripada kedua-dua belah pihak menggunakan maklumat kaum yang ada di dalam daftar pemilih pilihan raya untuk agihan kerusi di antara sekutu parti-parti politik mereka dan merancang strategi pilihan raya.

Mengulas lanjut hal ini, Awang berkata: "Tidak mungkin untuk menghapuskan maklumat kaum dalam daftar pemilih kerana kerajaan perlu mengiktiraf kepelbagaian etnik di Malaysia".

Masukkan data sosioekonomi

Sementara itu, pengkaji sains politik Wong Chin Huat juga bersetuju penyingkiran maklumat kaum tidak banyak membantu wacana mengurangkan politik perkauman.

"Ia adalah baik tetapi kesannya untuk tidak menggalakkan politik perkauman mungkin terhad," katanya.

Beliau menggalakkan SPR untuk belajar dari rakan sejawatannya di Jerman, yang memasukkan data sosioekonomi pengundi dalam daftar pemilih pilihan rayanya.

"Kita hanya boleh membuat kaum/ etnik kurang relevan dengan membuat bahagian bukan kaum lebih relevan.

"Jika kita mempunyai data tentang peratusan B40 (golongan berpendapatan rendah - 40 peratus daripada penduduk), pemilikan rumah, pekerjaan berdasarkan sektor ekonomi, maka parti politik dan anggotanya akan mempunyai lebih banyak isu untuk menjadi kepedulian selain daripada isu kaum dan agama.

"Ini mungkin jika daftar pemilih pilihan raya pada masa depan dapat memadankan data sosioekonomi yang lebih baik," katanya.

Tiada ulasan: