Sabtu, 23 Mac 2019

Kereta Asri dibakar tak berkait aktiviti pengganas - Ketua polis Perlis

MALAYSIAKINI


   
Polis menolak dakwaan kenderaan rasmi Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dibakar dalam kejadian di rumahnya di Kangar, semalam berkaitan aktiviti pengganas.

Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd dipetik Harian Metro berkata, siasatan pihaknya setakat ini tidak menunjukkan langsung tanda ia perbuatan pengganas.

“Tidak betul untuk kita katakan kejadian itu membabitkan mana-mana kumpulan pengganas dan motif kejadian setakat ini lebih menjurus kepada dendam atau berunsur peribadi.

“Ia sehingga berlakunya kejadian khianat berkaitan api terhadap Dr Mohd Asri. Namun kita masih lagi menyiasat lebih lanjut.

“Saya minta agar semua pihak tidak terlalu ghairah mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menjejaskan siasatan kami.

"Saya (juga) minta pihak tertentu supaya tidak terlalu taksub mengulas perkara ini sehingga mencetuskan kebimbangan orang awam,” katanya kepada akhbar itu.

Noor Mushar ketika dipetik Utusan Online pula berkata polis sedang memburu dua suspek yang bertanggungjawab membakar kereta rasmi Mohd Asri.

“Kita percaya kedua-duanya sedang menyembunyikan diri dan tidak menolak kemungkinan mereka melarikan diri di luar Perlis,” katanya.

Terdahulu, Mohd Asri dilaporkan media mendakwa kejadian yang menimpanya semalam dilakukan pengganas.

Ini selepas ulama itu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan dua individu mencurigakan.


Tiada ulasan: