Khamis, 21 Mac 2019

Aksi pelik...Hisap rokok guna `ekzos'

Hamzah Osman
 


TINDAKAN pelancong lelaki warga China menghisap rokok menggunakan peralatan ‘pelik’ di khalayak ramai di Pulau Langkawi mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Terdahulu, video aksi lelaki itu menghisap rokok menggunakan peralatan diperbuat daripada aluminium di hadapan sebuah pusat beli-belah dan kawasan pelancongan tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata, rentetan penularan video itu, lelaki berusia 60 tahun dan berasal dari China itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Lelaki itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi bersama alat menghisap yang dibawa dari, China.

“Lelaki itu tiba di pulau ini pada Ahad lalu untuk bercuti selama lima hari empat malam dan dijangka berlepas pulang ke negara asalnya, esok,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Iqbal berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki warga China itu menggunakan alatan itu untuk menghisap sejenis tumbuhan dinamakan ‘kao ye’ atau ‘hong yen’ (Tembakau Merah).

Beliau berkata, pelancong asing itu memberitahu sebelum ini pihak kastam ada membuat pemeriksaan menerusi mesin pengesan dan alatan itu dibenarkan kerana tiada pelanggaran undang-undang.

“Malah, hasil pemeriksaan urin ke atas lelaki itu turut mendapati dia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Berikutan itu, dia yang tiba di negara ini bersama isteri dan rombongan dibebaskan selepas proses dokumentasi oleh pihak polis selesai,” katanya.


Tiada ulasan: