Khamis, 14 Mac 2019

Ahli PAS lebih kenal Nik Aziz, jawab Tuan Ibrahim


   

PRK RANTAU | PAS memulangkan paku buah keras terhadap kenyataan Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman yang mendakwa sokongan akar umbi parti itu dijangka beralih arah kepada undi protes dengan tidak mengundi Umno pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.

Sebaliknya timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan dakwaan Syed Badli itu sebagai tidak berpijak di bumi nyata.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Syed Badli bahawa ramai akar umbi PAS masih berpegang kepada prinsip Allahyarham Nik Abdul Aziz untuk menolak kerjasama dengan Umno.

"Kami ahli PAS lebih mengenali keperibadian Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz (Nik Mat), yang menjunjung Islam sebagai asas perjuangan. Beliau menentang kemungkaran dan mendukung amal makruf daripada mana sekalipun.

"Keputusan dua PRK sebelum ini membuktikan sama ada PAS, Umno dan rakyat mendukung hasrat penyatuan ummah demi kebaikan negara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau yang juga anggota parlimen Kubang Kerian menegaskan, kenyataan Syed Badli itu memberi gambaran betapa Pakatan Harapan (PH) bimbang dengan perkembangan kerjasama PAS dan Umno.

"Kenyataan ini menggambarkan kebimbangan PH di atas muafakat politik PAS dan Umno kini," jelasnya.

Terdahulu, Syed Badli berkata beliau yakin sebahagian besar penyokong dan akar umbi PAS yang masih kekal bersama prinsip yang dibawa Allahyarham Nik Aziz akan menolak kerjasama Umno dengan PAS.

"Umno kini berada dalam keadaan yang amat terdesak sehingga terpaksa memperalatkan PAS dengan dakyah penyatuan Melayu demi mengukuhkan kembali kedudukan Umno yang sedang nazak.

"Justeru, saya yakin akar umbi PAS khususnya di Rantau akan menolak Umno sebagai tanda protes terhadap kerjasama Umno PAS," katanya.

Sebagai rekod PAS dan Umno mengumumkan kerjasama secara rasmi pada 5 Mac lalu selepas kejayaan BN memenangi PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

Pada pilihan raya umum lalu, calon BN, Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding di DUN Rantau selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang lawannya dari PKR, Dr S Streram daripada mengemukakan kertas pencalonan.

Streram kemudian memfailkan petisyen pilihan raya dan mahkamah memerintahkan supaya pilihan raya kecil diadakan.

Pakatan Harapan sekali lagi akan mencalonkan Streram di kerusi itu pada PRK yang dijadual berlangsung 13 April ini.

Sementara itu Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhi Shaari berkata, ahli akar umbi PAS sudah membuktikan mereka memberi sokongan kepada Umno dalam PRK di Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini.

"Komen saya mudah sahaja, tunggu dan lihat.

"Setakat ni, akar umbi PAS di Cameron Highlands dan Semenyih tiada masalah untuk mematuhi arahan pimpinan parti," jelasnya sambil mengakui akar umbi PAS sudah membuktikan sokongan kepada Umno pada dua PRK terakhir sebelum ini.


Tiada ulasan: