Khamis, 14 Mac 2019

Sisa toksik: Pengusaha kilang jangan lakukan pembuangan panik

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR — Pengusaha kilang di sekitar Pasir Gudang yang mempunyai sisa toksik berbahaya dalam simpanan mereka diminta supaya tidak melakukan pembuangan panik susulan pemeriksaan besar-besaran pihak berkuasa.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata tindakan itu dikhuatiri dilakukan pengusaha kilang yang takut ditangkap pihak berkuasa yang sedang melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, sisa berjadual perlu dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu di tempat pelupusan toksik yang berlesen.

“Saya difahamkan polis kini sedang giat melakukan road block (sekatan jalan raya) (di kawasan Pasir Gudang) untuk mengelak pengusaha kilang melakukan pembuangan panik ke merata tempat.

“Jika mereka ikut undang-undang tidak perlu panik, pembuangan sisa toksik secara haram lebih serius daripada kesalahan menyimpan sisa tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 7 Mac lepas telah menyebabkan seramai 947 orang dirawat di hospital dan klinik kerana terdedah kepada tindak balas kimia daripada sisa pembuangan toksik tersebut.

Sembilan daripada mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail. Pencemaran itu juga menyebabkan kesemua 111 buah sekolah di Pasir Gudang telah diarah ditutup.

Terdahulu, semasa menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Yeo berkata kerajaan memandang serius krisis tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya.

Beliau turut menggesa anggota-anggota Parlimen supaya tidak mempolitikkan isu tersebut.

Katanya, siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati bahan buangan di Sungai Kim Kim bukan berpunca daripada pelepasan kilang atau industri berhampiran.

Jelasnya keputusan analisis ke atas sampel yang diambil JAS dari Sungai Kim Kim menunjukkan kesemuanya mengandungi pelarut organik Benzene, Toulene, Xylene, Ethylbenzene dan D-Limonene.

“D-Limonene adalah bahan kimia kebiasaannya hasil daripada proses ‘pyrolysis’ tayar,” katanya.

Katanya kementerian itu kini sedang fokus kepada kerja-kerja pembersihan sungai supaya bahan-bahan toksik tersebut dapat dikeluarkan segera dan dilupuskan dengan selamat, selain memastikan tiada sumber pencemaran yang baharu.

Katanya, kementerian itu juga mendapatkan bantuan daripada tentera dan Petronas untuk menghantar sumber mereka dari segi jentera, alat dan pakar untuk membantu menangani krisis tersebut.

“Sebagai contoh, Petronas akan menghantar ‘air dispersal modeler’ yang akan menjadi sangat berguna untuk kita faham vaporization (pengewapan) dan movement of gases (pergerakan gas) dan seterusnya boleh merancang kerja-kerja dengan lebih efektif,” katanya.

Mengenai rancangan jangka panjang, katanya satu jawatankuasa penilaian akan ditubuhkan untuk meneliti isu ini secara keseluruhan daripada perspektif sistemik seperti pengurusan sisa berjadual dan juga pembangunan kawasan perindustrian di Pasir Gudang dan Johor selatan yang tidak terkawal.

Tiada ulasan: