Baginda ucap terima kasih atas tindakan segera oleh kerajaan negeri, agensi berkaitan
KUALA LUMPUR
– Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa pencemaran sisa
kimia di Pasir Gudang, Johor dan mendoakan mereka kembali pulih.
Istana
Negara dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka memandang serius
insiden tersebut dan berharap mangsa yang menjalani rawatan saringan
awal di Medic Base, Stadium Tertutup Pasir Gudang berupaya menjalani
proses pemeriksaan dengan baik.
“Baginda
juga menzahirkan ucapan terima kasih dan menyokong tindakan segera yang
telah diambil oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan khususnya
Kementerian Kesihatan; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam
Sekitar dan Perubahan Iklim; Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jabatan
lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Sultan
Abdullah turut memohon rakyat Malaysia mendoakan keadaan pencemaran sisa
toksik di Pasir Gudang tidak akan mengakibatkan keadaan yang lebih
memudaratkan kepada penduduk setempat.
Sehingga
tengah malam tadi, 65 pesakit baharu dimasukkan ke
wad akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, menjadikan jumlah
mereka yang masih dirawat di hospital seramai 371 orang.
Setakat 3 petang semalam, seramai 4,035 mangsa menerima rawatan berikutan pencemaran yang berlaku sejak 7 Mac. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan