Sabtu, 16 Mac 2019

Perubahan kerajaan malapetaka dahsyat buat bangsa Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Tak pernah berlaku dalam negara majoriti umat Islam tapi pemerintahannya dikuasai orang bukan Islam: Presiden Isma



PUTRAJAYA – Perubahan pemerintahan Malaysia – selepas Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP merampas tampuk kerajaan – disifatkan sebagai malapetaka dahsyat yang tidak pernah dibayangkan oleh orang Melayu di negara ini.

Kecewa melihat senario semasa, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, tidak pernah berlaku dalam sebuah negara yang majoritinya Islam dikuasai oleh orang bukan Islam.

Beliau berkata, apa yang berlaku hari ini adalah disebabkan sikap sebahagian umat Islam yang menjadi topeng dan benteng kepada mereka, sehingga orang bukan Islam boleh berkuasa serta menentukan perjalanan negara.

“Bagaimana minoriti boleh menguasai golongan majoriti, ini bukan kenyataan kita. Tetapi Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan mengenai percaturan penjawatan dalam kerajaan dan keputusan banyak ditentukan oleh sebuah parti yang sejak dahulu kita yakin sentiasa bawa agenda meliberalkan pemikiran rakyat serta mendoktrinkan pemikiran mereka dengan agenda terpesong daripada Islam.

“Sebab itu kita laungkan sejak daripada awal lagi penentangan kita, yang bukan bersifat sentimen semata-mata. Tetapi berdasarkan kajian dan penelitian terhadap perjuangan serta ideologi yang mereka bawa,” katanya.

Berucap pada Mesyuarat Agung Isma Ke-16 di sini hari ini, Aminuddin berkata, belum cukup tempoh setahun memerintah, kerajaan PH dilihat begitu rakus dan gelojoh meminda pelbagai perundangan, peraturan serta akta.

“Beberapa hari lepas kita didengar dalam Parlimen, dibentang oleh seorang Melayu yang mencadangkan untuk memansuhkan hukuman mati.

“Secara jelas kita menentang cadangan itu kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan syarak, malah melalui analisa rakan NGO, perkara ini akan menyebabkan kadar jenayah meningkat begitu drastik,” katanya.

Selain hukuman mati, beliau berkata, kerajaan juga berhasrat untuk memansuhkan Akta Hasutan, termasuk mahu meminda dasar kebudayaan negara yang kononnya didakwa sudah tidak relevan dalam realiti hari ini.

“Keadaan yang ada pada hari ini tidak menunjukkan apa-apa kebaikan kepada Islam, apatah lagi orang Melayu.

“Walaupun diuar-uarkan dengan pelbagai istilah yang kononnya ingin berdakwah kepada mereka ini, tetapi kita yakin itu tidak lebih sebagai topeng untuk menghalalkan segala tindakan dan rancangan mereka untuk meliberalkan pemikiran rakyat,” katanya.


Tiada ulasan: