Rabu, 20 Disember 2017

Wan Azizah fail rayuan susulan diperintah bayar ganti rugi RM2 juta kepada Felda

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Susulan diperintahkan mahkamah untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Felda dan Felda Global Ventures (FGV) kerana fitnah, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
 
Peguam Francis Pereira, yang mewakili Wan Azizah dan dua yang lain, mengesahkan beliau telah menerima arahan untuk memfailkan rayuan.
 
"Kami mempunyai 30 hari untuk memfailkan notis itu, dan ia akan difailkan kerana saya baru menerima arahan," katanya dipetik Malaysiakini. 
 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Disember lalu memerintahkan Wan Azizah, bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan wartawan Rusnizam Mahat membayar ganti rugi RM2 juta kepada Felda dan FGV atas dua artikel fitnah yang disiarkan dalam akhbar PKR, Suara Keadilan, tujuh tahun lalu.
 
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada mulanya menetapkan ganti rugi sebanyak RM70,000.
 
Namun Hakim Datuk Su Geok Yiam dalam penghakimannya berkata, Timbalan Pendaftar yang mengeluarkan perintah terhadap ganti rugi itu sebelum ini gagal untuk menilai bahawa apabila artikel bertajuk 'Felda Bankrap' dan artikel berserta gambar bertajuk 'Kontroversi' dan 'Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu', menyebabkan perayu mengalami kerugian kewangan dan sahamnya merudum.
 
Beliau berkata, mahkamah berpandangan jika jumlah itu tidak diketepikan dan digantikan dengan jumlah ganti rugi yang sewajarnya, ia boleh menyebabkan semua pihak memandang remeh kepada kes fitnah yang dilemparkan terhadap badan berkanun.
 
 

Tiada ulasan: