Khamis, 21 Disember 2017

Ibu tunggal mohon maaf kepada bekas Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kes saman bekas Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan terhadap seorang ibu tunggal atas dakwaan memfitnah beliau pernah mengadakan hubungan seks dengannya, berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
 
Ibu tunggal itu, Yuhasni Mohd Yusoff membuat permohonan maaf kepada Abdul Walid pada 7 Disember lalu dan ia direkodkan oleh Hakim M. Gunalan.
 
Dalam perintah persetujuan tersebut, Yuhasni yang dinamakan sebagai pihak defendan membacakan kenyataan tersebut di mahkamah itu.
 
Perintah persetujuan itu menyebut, Yuhasni, 38, mengakui bahawa dia memahami dakwaannya itu telah menyebabkan rasa malu dan keresahan kepada Abdul Walid selaku pihak plaintif. 
 
Yuhasni yang mengakui membuat kenyataan tersebut tanpa berfikir panjang sehubungan itu memohon maaf tanpa sebarang syarat dan meluahkan rasa kesalnya kepada pihak plaintif atas kesengsaraan mental, kerugian kesulitan yang dialaminya serta syak wasangka yang timbul ekoran kenyataan tersebut. 
 
Susulan pernyataan maaf itu, Abdul Walid juga tidak akan meneruskan aduan qazaf bertarikh 6 Disember lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Putrajaya terhadap Yuhasni.
 
Pihak plaintif yang diwakili firma guaman, Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co. telah menyaman defendan untuk menuntut ganti rugi RM1 juta atas trauma mental serta emosi yang dialami ekoran dakwaan tersebut.
 
Turut dituntut adalah perintah injunksi kekal bagi menghalang defendan daripada terus memfitnahnya dan permohonan maaf tanpa syarat daripada defendan.
 
 

Tiada ulasan: