OLEH SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Saya mengalu-alukan tindakan SPRM membuat serbuan ke atas Pejabat
Ketua Menteri Melaka, Seri Negeri petang semalam walaupun masih terlalu
awal untuk membuat sebarang penilaian sama ada “jerung” atau “bilis”
yang akan diambil tindakan.
Menurut laporan media, serbuan SPRM itu dibuat sebagai langkah
susulan siasatan kes rasuah membabitkan pegawai kerajaan negeri.
Serbuan SPRM ini bukanlah satu tindakan yang memeranjatkan
memandangkan pada 28 November yang lalu seorang pegawai kanan kerajaan
negeri telah ditahan oleh SPRM dan akaun berjumlah sebanyak RM23 juta
telah dibekukan.
Pegawai kerajaan yang ditahan itu dikatakan seorang yang rapat dengan
Ketua Menteri. Bukan itu sahaja, beliau juga pernah berkhidmat bersama
dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam.
Ini menimbulkan persoalan sama ada pegawai berkenaan telah melakukan
amalan rasuah sejak Ali Rustam menjadi Ketua Menteri sehingga ke hari
ini.
Apakah ada juga penglibatan pegawai-pegawai atau orang-orang kanan
Idris yang lain memandangkan petikan laporan media berkenaan juga
melaporkan orang-orang kanan Idris turut disiasat?
Saya mendesak YAB Datuk Seri Utama Idris Haron untuk tampil segera
membuat penjelasan secara terperinci mengenai serbuan SPRM ke atas
pejabat beliau bagi menangkis persepsi umum bahawa terdapatnya amalan
rasuah yang berleluasa sekarang.
KEADILAN Melaka mengajak pegawai-pegawai kerajaan negeri yang berani
untuk tampil menjadi “whistleblower” dengan menyalurkan sebarang
maklumat mengenai kegiatan rasuah dan penyelewengan kepada kami.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
AHLI PARLIMEN BUKIT KATIL
PENGERUSI MAJLIS PIMPINAN NEGERI PARTI KEADILAN RAKYAT MELAKA
NAIB PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan