OLEH AFIX REDZUAN
SHAH ALAM : KEADILAN mendesak Datuk Bandar Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz menjelaskan
projek didakwa menjadi ‘gajah putih’ dianggarkan hampir RM700 juta.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, laporan akhbar
The Star bertajuk ‘From monuments to failures’ memeranjatkan warga Kuala
Lumpur dan membangkitkan semula pandangan perlunya reformasi untuk
menyelamatkan DBKL.
Beliau mendakwa secara purata RM47 juta dibelanjakan setiap tahun
selama 15 tahun untuk projek ‘gajah putih’ yang tidak mendatangkan
manfaat sepatutnya.
“Sepuluh projek ‘gajah putih’ dilaporkan antaranya belon amaran
banjir di Kampung Kasipillay pada 2013 bernilai RM200,000 dan RM365 juta
bagi sistem pengawasan lalu lintas (ITIS) yang dilancarkan pada 2002
dianggarkan semuanya berjumlah RM700 juta.
“RM700 juta ini mungkin boleh diguna untuk membina sepuluh buah
sekolah yang mempunyai 24 bilik darjah dengan menggunakan Industrialised
Building System (IBS) seperti yang disebut Menteri Pendidikan Datuk
Seri Mahdzir Khalid Ogos lalu.
“Jumlah ini juga lebih dari mencukupi untuk mengganti kesemua lif di
62 PPR dan PA di seluruh Kuala Lumpur pada harga RM500,000 sebiji,”
katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi turut menimbulkan persoalan bagaimana kos projek yang tinggi
itu boleh diluluskan bahkan ia berlarutan bertahun lamanya tanpa
meletakkan soal kebertanggungjawaban terhadap penggunaan wang rakyat.
“Bagaimanakah Lembaga Penasihat Bandaraya yang mempunyai 15 ahli yang
tidak dipilih dan dipengerusikan Datuk Bandar boleh membenarkan projek
‘gajah putih’ ini berlaku tahun demi tahun? Tidakkah mereka berasa
mereka bertanggungjawab kepada rakyat?
“Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ahli-Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya
digesa memberi penjelasan penuh terhadap projek itu serta mengumumkan
projek ‘gajah putih’ lain yang mungkin belum kita ketahui,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya pembayar cukai yang tinggal di 11
kawasan Parlimen di Kuala Lumpur memilih sekurang-kurangnya 11 daripada
15 Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya menerusi prinsip ‘tiada cukai tanpa
perwakilan’.=EZY=
Tiada ulasan:
Catat Ulasan