KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menafikan dakwaan Ahli Parlimen Shah
Alam, Khalid Samad bahawa suspek utama dalam kejadian rusuhan di luar
lobi Parlimen pada 24 November lalu tiada dalam sesi kawad cam yang
diadakan polis pada 10 Januari lalu.
Rasa tidak puas hati Ahli Parlimen itu dilaporkan sebuah portal media,
semalam. Susulan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar
Singh, melalui satu kenyataan media hari ini, menjelaskan dua kawad cam
diadakan berhubung kes itu iaitu pada 13 Disember 2016 dan 10 Januari
lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul.
"Khalid hadir dalam sesi kawad cam yang diadakan pada 10 Januari dan
dalam sesi kawad cam itu, dua suspek dicam daripada 11 orang yang
mengambil bahagian termasuk anak kepada Timbalan Menteri melainkan
seorang lagi suspek yang belum dikenal pasti," katanya.
Sesi kawad cam itu dilakukan dengan sempurna mengikut prosedur operasi
standard (SOP) yang sudah ditetapkan serta turut dihadiri oleh peguam
kedua-dua pihak.
Justeru, katanya pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak
mempercayai kenyataan itu dan tidak membuat spekulasi hingga siasatan
selesai.
Pada 24 November lalu satu kejadian merusuh berlaku di luar Parlimen
membabitkan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman
dengan Ahli Parlimen Shah Alam.
Susulan itu, lapan lelaki dan tiga wanita berumur antara 28 dan 54
tahun ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen
147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan