Selasa, 17 Januari 2017

Kabinet Sarawak angkat sumpah Khamis ini

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUCHING: Majlis angkat sumpah bagi timbalan-timbalan ketua menteri dan menteri-menteri Sarawak di bawah Ketua Menteri baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg akan diadakan Khamis ini.
 
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan pada Selasa, majlis akan berlangsung pada 10.30 pagi di Kompleks Dewan Undangan Negeri di Petrajaya.
 
Sarawak dijangka menerima seorang timbalan ketua menteri baharu bagi mengisi jawatan yang ditinggalkan Abang Johari.
 
Abang Johari adalah antara tiga timbalan ketua menteri di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
 
Dua lagi ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Jemut Masing.
 
Desas-desus menyatakan Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan mengisi kekosongan itu memandangkan beliau pemimpin paling kanan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tonggak kerajaan Barisan Nasional Sarawak.
 
Awang Tengah juga merupakan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri.
 
Selain itu, seorang pemimpin kanan PBB dijangka mengisi kekosongan jawatan menteri perumahan dan urbanisasi serta menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan, dua portfolio yang sebelum ini dipegang oleh Abang Johari.
 
Abang Johari, 67, anak lelaki bongsu Yang Dipertua Negeri Sarawak yang pertama Tun Abang Openg Abang Sapiee, mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri keenam Sarawak di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada Jumaat lepas di Astana.

Tiada ulasan: