KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menemui petunjuk baharu berhubung
kes pembunuhan bekas Adun Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, yang mati
ditembak pada 9 Oktober 2015.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, petunjuk baharu
itu diperoleh susulan kejayaan pihaknya menyelesaikan beberapa kes
jenayah menggunakan pistol di negeri itu, baru-baru ini.
“Apa yang boleh saya beritahu memang ada petunjuk baharu dan siasatan
masih berjalan untuk memburu suspek dan siapakah dalang di sebalik
pembunuh upahan itu.
“Memang siasatan ini mengambil masa agak lama berbanding kes pembunuhan
lain kerana ia dilakukan kumpulan pembunuh upahan yang sangat licik.
“Namun, dengan kepakaran dan keupayaan kami serta kerjasama dengan
sumber dari Bukit Aman, gerakan memburu suspek masih dijalankan dan kami
sedang lakukan yang terbaik untuk selesai kes ini,” katanya selepas
Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Terengganu hari ini.
Dalam kejadian 2 petang itu, Alias mati ditembak pada jarak dekat
selepas didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal,
di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang selepas pulang
daripada solat Jumaat.
Ditanya sama ada kematian mangsa mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan
sepupunya, Mat Jusoh Ali, 56, juga dikenali Cikgu Zaki yang mati
ditembak 2 bulan sebelum itu, Rosli berkata, pihaknya percaya pembunuhan
itu dilakukan kumpulan pembunuh upahan sama dan didalangi orang sama.
“Kalau kita lihat arwah Alias dan arwah sepupunya, Cikgu Zaki itu
terlibat dengan politik di kawasan sama (Marang), jadi kami percaya
pembunuhan mereka berdua disebabkan motif sama.
“Kerana lepas pembunuhan Alias, tiada lagi kes pembunuhan baharu, cuma
kami memang tolak motif politik dan siasatan lebih menjurus kepada
kewangan dan perniagaan,” katanya.
Cikgu Zaki yang juga bekas pesara guru itu pula maut dipercayai terkena
tembakan jarak jauh di kawasan rumahnya, di Kampung Padang Midin, dekat
sini, pada 9 Ogos 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan