PETALING JAYA: Amanah berikrar PAS tidak akan ada peranan jika Pakatan
Harapan (PH) menang lagi di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, parti itu akan
mempastikan PAS tidak lagi menjadi sebahagian kerajaan negeri Selangor
seperti sekarang.
“Selagi mana PAS tidak masuk dalam PH, kita tidak akan ambil kira mereka,” katanya dipetik sebuah portal.
PH yang menyatukan PKR, DAP dan Amanah di samping kerjasama dengan
PPBM, menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur ekoran perselisihan PAS
dan DAP.
PAS kini mempunyai 13 kerusi daripada 56 kerusi negeri di Selangor, manakala 3 daripada exco negeri diwakili parti itu.
Negeri itu ditawan daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU 2008, dan sekali lagi dengan majoriti lebih besar pada 2013.
Salahuddin berkata, PAS kini bertahan di Selangor bukan demi akidah tetapi sebab kuasa.
“Mereka tersangkut di situ kerana kuasa, bukan demi akidah sangat. Yang
lain mereka maki hamun, tetapi di Selangor tidak, ia kerana mereka ada
kuasa,” katanya.
Salahuddin berkata salah satu sebab utama Pakatan akan terus memerintah
Selangor adalah disebabkan kurangnya pemimpin berkaliber BN, khususnya
Umno.
“Jangankan di Selangor, jika kita lihat di peringkat persekutuan,
selepas Datuk Seri Najib Razak, siapa penggantinya? Bariskan siapa yang
layak mengambil alih.
“Mereka (Umno dan BN) tidak ada pemimpin yang menyakinkan. Jika di
Selangor, Datuk Seri Jamal Yunos lebih popular daripada Tan Sri Noh
Omar,” katanya merujuk Jamal, ketua Umno Sungai Besar, dan Noh yang
mengetuai Umno Selangor.
Salahuddin berkata apabila PAS tidak bersama PH, Amanah sebagai parti
yang turut membawa ciri “Islamik” bertanggungjawab memenuhi kekosongan
ditinggalkan PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan