Khamis, 12 Januari 2017

PH-Bersatu lancar Jelajah #FeldaTergadai selami masalah peneroka

Oleh Fiza Abd Halim

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan siri jelajah di seluruh Malaysia untuk menyelami masalah peneroka Felda.

Jelajah dengan tema #FeldaTergadai itu akan dilancarkan di Felda Bilut, Bentong pada 25 Januari, jam 8 malam dan dibarisi pimpinan kanan kedua-dua parti itu.

saifuddin-1

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan, jelajah ini merupakan perhatian serius terhadap nasib peneroka dalam mendepani masalah berpanjangan seperti hutang, hak milik tanah, perumahan, pekerjaan untuk penduduk, dan tanah rancangan, selain isu sekitarnya yang akan turut dikaji dengan teliti.

“Mengambil kira pelbagai isu pengurusan dan kewangan Felda serta anak-anak syarikatnya yang kian meruncing, Pakatan Harapan dan Bersatu mengambil tindakan bersama untuk memastikan maklumat sampai kepada peneroka.

“Sehubungan itu, sepanjang siri jelajah ini nanti, kami akan mengedarkan 200,000 risalah menerangkan kedudukan kewangan Felda kepada peneroka di seluruh negara.

“Kita akan turun seberapa banyak tanah rancangan Felda, menyampaikan maklumat melalui ceramah dan dialog,” katanya pada sidang media di pejabat Invoke, Sungai Besi, hari ini.

Saifuddin berkata, jelajah ini juga peluang terbaik tatkala para peneroka memberi perhatian serius terhadap isu tatakelola Felda yang dibawa pihak Pembangkang.

“Kita akan gunakan kesempatan yang ada sekarang untuk mendapatkan maklum balas dari semua pihak berkaitan dengan Felda, iaitu peneroka, kakitangan Felda, generasi kedua dan industri kelapa sawit untuk merangka pelan baru.

“Termasuk menjaga kepentingan strategik Felda di dalam ekonomi negara tanpa mengorbankan kebajikan peneroka.

“Saya dan rakan-rakan yang lain akan membawa perkara ini ke peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan Jawatankuasa Penyelenggaraan Pakatan Harapan-Bersatu dalam masa terdekat,” ujarnya

Tiada ulasan: