Oleh Shuhaniza Said
AMPANG: Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk
Seri Jamal Md Yunos akan mengerahkan ahlinya termasuk Gerakan Baju Merah
untuk memberi sokongan terhadap Himpunan 355 anjuran PAS pada 18
Februari ini.
Menurut Ketua Umno Sungai Besar itu juga, kehadiran itu bertujuan
memberi sokongan terhadap langkah PAS yang mahu mencadangkan pindaan
terhadap Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).
"Sudah pasti kami akan beri sokongan sepenuhnya kepada penganjur
Himpunan 355, dan saya sendiri bersama rakan-rakan telahpun bersetuju
untuk hadir sama memberi sokongan kepada himpunan tersebut.
"Saya akan gerakkan gabungan NGO di bawah saya untuk hadir bersama,"
katanya dalam satu wawancara bersama Antarapos, baru-baru ini.
PAS pada Sabtu lalu mengumumkan akan menganjurkan himpunan mega pada 18
Februari depan bagi menyatakan sokongan bersabit langkah Presidennya
membawa usul pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965, yang telah melalui dua kali penangguhan di Parlimen.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media
himpunan itu turut mempelawa semua pihak termasuk parti politik, badan
bukan kerajaan serta orang ramai untuk menghadiri himpunan itu bagi
mendapatkan penerangan mengenai keperluan meminda Akta 355.
Himpunan yang turut dianjurkan secara bersama dengan NGO dan aktivis
itu menyasarkan kehadiran seramai 300,000 orang, dan memilih Dataran
Merdeka sebagai lokasi awal.
Menurut Tuan Ibrahim, himpunan itu turut bertujuan 'memurnikan suasana'
ekoran sikap sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan langkah PAS
membawa usul pindaan terhadap Akta 355.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan