Jumaat, 6 Januari 2017

Panjat arca Ipoh tidak seburuk ‘rembat’ duit rakyat – Tengku Zul


Roketkini.com

MENTAKAB: Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berpendapat kumpulan remaja yang memanjat arca Ipoh baru-baru ini tidak wajar dicemuh.

Sebaliknya apa yang perlu diberi adalah nasihat supaya dalam masa akan datang mereka lebih berhati-hati menjalankan aktiviti mereka.

“Tindakan mengecam, mengugut adalah tidak kena pada tempatnya.

“Kita sepatutnya bersyukur kerana remaja negara ini berani dan mempunyai hobi sukan lasak,” katanya dalam status facebook beliau.

Menurut Adun Mentakab itu, golongan yang meminati sukan lasak perlu diberi lebih galakkan dan latihan.

“Tindakan mereka tidaklah seburuk seperti salah guna dadah, salah guna kuasa dan tidak ‘merembat’ duit rakyat,” kata beliau.

Baru-baru ini media sosial gempar dengan rakaman video dan foto wefie sekumpulan remaja yang berada di puncak arca IPOH.

Aksi berani mereka mendapat perhatian masyarakat negara ini dengan pelbagai komen positif dan tidak kurang juga kritikan pedas.

Rentetan itu, mereka telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh 2 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan melibatkan perbuatan membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Kelmarin, kumpulan lapan remaja terbabit  memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat umum dalam satu sidang media. -Roketkini.com


Tiada ulasan: