IPEGUAM
memandang serius dan menyelar kerjasama di antara Pakatan Harapan yang
terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik
(DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) dengan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) yang dimaktubkan dalam satu dokumen perjanjian yang
ditandatangani pada 13 Disember 2016 yang lalu.
Kerjasama
ini tidak lain dan tidak bukan merupakan satu bencana bagi masa depan
dan kedudukan Islam di Malaysia bahkan ia tidak selari dengan peruntukan
dan semangat Perlembagaan khususnya Perkara 3 seperti yang didakwa
dalam dokumen perjanjian tersebut.
Kandungan berkontroversi
IPeguam
mempersoalkan satu petikan daripada dokumen perjanjian yang didapati
bertujuan secara jelas atau tersirat berniat jahat dan bertujuan untuk
melemahkan kedudukan Islam yang terkandung dalam Perlembagaan. Berikut
adalah petikan tersebut:
“i.
Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi
Persekutuan DAN agama-agama lain boleh diamalkan dengan BEBAS, aman dan
damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi
kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan
kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;”
IPeguam mengajak rakyat Malaysia untuk meneliti peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:
“Islam
ialah agama bagi Persekutuan ; TETAPI agama-agama lain boleh diamalkan
dengan aman DAN damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”
Sekiranya
dibandingkan dengan peruntukan Perkara 3 ini, ternyata terdapat dua
perbezaan ketara yang sudah tentu membawa maksud yang berbeza dan perlu
diberikan perhatian.
Pertama,
petikan dokumen perjanjian tersebut telah menambah satu perkataan yang
tidak terdapat dalam Perkara 3. Perkataan tersebut adalah ‘bebas’.
Perubahan-perubahan
ini tidak boleh lari daripada kenyataan mahupun dakwaan bahawa
kerjasama perjanjian PH dan PPBM ini bertujuan untuk membawa satu
perjuangan dalam kerangka ‘kebebasan beragama’ yang berbeza daripada
kerangka yang diamalkan sekarang.
Apakah
kerangka tersebut? Kerangka tersebut adalah keutamaan dan keluasan
pengaruh Islam di dalam Negara sepadan dengan peruntukan Perkara 3 yang
mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.
Kerangka
ini turut diiktiraf dan disokong oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes
Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors yang
memutuskan bahawa:
“Islam is
not just a mere collection of dogmas and rituals but it is a complete
way of life covering all fields of human activities, private or public,
legal, political, economic, social, cultural, moral or judicial.”
Hasil
daripada pengiktirafan ini, kedudukan disisi Perlembagaan diangkat
menjadi satu agama yang boleh mempunyai pengaruh dalam segenap aspek
kemasyarakatan dan kenegaraan di Malaysia, dan bukan terhad kepada
amalan ‘ritual’ mahupun ‘ceremonial’ dalam kalangan umat Islam sahaja.
Kerangka
kebebasan beragama di Malaysia ini seiring dengan maksud menjaga serta
memelihara kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan yang harus
diberikan keutamaan dan keistimewaan.
Benar,
Islam adalah agama bagi Persekutuan dan kedudukan serta pengiktirafan
ini tidak boleh dilihat sebagai mencanangkan keperluan atau kefahaman
untuk mencapai kesamarataan antara semua agama di Malaysia. Perkataan
‘tetapi’ membawa konotasi bahawa agama Islam adalah diutamakan, dijaga
dan diberi keistimewaan berbanding dengan agama-agama lain.
Dalam erti
kata mudah, agama Islam adalah satu keutamaan dan bersifat tunjang,
namun selagi ia tidak menggugat kedudukan dan keistimewaan (ajaran,
peraturan dan undang-undang) Islam, dan selagi ia tidak memprejudis umat
Islam atau memurtadkan mereka, agama-agama lain boleh diamalkan dengan
aman dan damai.
Maksud ‘aman dan damai’
Apakah
maksud ‘aman dan damai’ mengikut kerangka kebebasan beragama di sisi
Perlembagaan? Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic
Archbishop of Kuala Lumpur v. Menteri Dalam Negeri and Kerajaan Malaysia
(The Herald) memutuskan bahawa:
[33] In
short, Article 3(1) was a by-product of the social contract entered into
by our founding fathers who collectively produced the Federal
Constitution, which is recognized as the Supreme Law of the country. It
is my judgment that the purpose and intention of the insertion of the
words: “in peace and harmony” in Article 3(1) is to protect the sanctity
of Islam as the religion of the country and also to insulate against
any threat faced or any possible and probable threat to the religion of
Islam. It is also my judgment that the most possible and probable threat
to Islam, in the context of this country, is the propagation of other
religion to the followers of Islam. That is the very reason as to why
Article 11(4) of the Federal Constitution came into place.
IPeguam suka untuk memetik Perkara 11(1) yang memperuntukkan bahawa:
“11. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.”
Berikut adalah Perkara 11(1) Fasal 4:
“(4)
Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh
mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan
agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”
Berdasarkan
kedua-dua Fasal ini, ternyata bahawa kebebasan beragama terutamanya
apabila ia melibatkan atau menggugat kedudukan Islam dan umat Islam,
Islam dan umat Islam perlu diberikan keutamaan, keistimewaan dan
perlindungan selayaknya menurut Perlembagaan.
Ini
bermakna, penganut agama lain boleh mengamalkan agamanya namun mereka
tidak boleh mengembangkan agama mereka kepada umat Islam. Larangan ini
juga terpakai ke atas ajaran-ajaran tertentu yang diwartakan sebagai
sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun Negeri.
Walaubagaimanapun,
matlamat kerjasama yang dinukilkan dalam dokumen perjanjian tersebut
dengan perubahan-perubahan berkontroversi itu sama sekali tidak
mencerminkan pembawaan peruntukan, maksud dan semangat Perlembagaan yang
seharusnya dipertahankan dan dihormati oleh parti-parti politik ini.
Dengan
perkataan ‘bebas’ itu, mereka berhasrat untuk menanam ideologi
sekularisme bagi menafikan kedudukan dan pengaruh Islam dalam aspek
kemasyarakatan dan kenegaraan, juga fahaman pluralisme dan kebebasan
beragama mutlak acuan liberal bagi memberi laluan kepada agenda
Kristianisasi dan Syiah yang semakin bertapak di negara ini.
Tidak
hairanlah sekiranya keputusan kes penggunaan kalimah Allah oleh makalah
Kristian yang memihak kepada Islam bahkan mendukung aspirasi
Perlembagaan dan serbuan pihak jabatan agama Islam terhadap
penganut-penganut Syiah dikritik hebat oleh media dan pembangkang
pro-liberal.
Tidak
dilupakan juga hak beragama mengikut akal dan nafsu sendiri seperti yang
diperjuangkan oleh puak ultra-liberal Melayu. Sehinggakan pada mereka,
pihak jabatan agama Islam tidak boleh mencegah zina atau melakukan
serbuan dan tangkapan khalwat. Bagi mereka, perlakuan dosa menurut agama
Islam adalah tertakluk kepada individu semata-mata dan tidak boleh
dihalang atas nama hak peribadi dan kebebasan beragama (mutlak).
Namun, seperti kata-kata Hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes The Herald:
“[36] …
any freedom is not absolute. Freedom cannot be unfettered, otherwise
like absolute power, it can lead to chaos and anarchy.”
Oleh yang
demikian, IPeguam mengingatkan agar rakyat Malaysia peka dengan sebarang
usaha dan fahaman untuk mengubah Perlembagaan, khususnya Perkara 3 yang
memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Ancaman
ini turut dapat disaksikan melalui cadangan beberapa pihak yang mahu
menambah ‘preamble’ kepada Perlembagaan Malaysia dengan ‘mission
statement’ yang menjurus kearah mendukung fahaman liberalisme dan
kebebasan mutlak dengan tujuan yang sama, iaitu antara lain melemahkan
kedudukan Islam, menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan menghakis
kuasa Raja-Raja.
IPeguam
mengutuk kerjasama perjanjian PH-PPBM yang bertujuan memperkenal dan
menanam kerangka kebebasan beragama yang baharu dan bercanggah dengan
peruntukan, maksud dan semangat Perlembagaan yang sedia ada sehingga
boleh membuka laluan kepada perjuangan liberalisme, pluralisme dan
sekularisme.
Keserakahan
parti-parti politik untuk mendapat sokongan rakyat atau memenangkan
agenda atau perjuangan politik masing-masing tidak boleh menjadi alasan
untuk bereksperimen dengan Perlembagaan Malaysia sesuka hati mereka.
Mereka
harus ingat bahawa rakyat melantik dan memberi mandat kepada mereka
untuk menjadi wakil yang akan menjaga dan memelihara tunjang
Perlembagaan, bukannya mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat
demi muslihat politik masing-masing.
Adalah
menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia agar bekerjasama
membanteras dan menangkis anasir-anasir yang cuba mengubah lanskap
kemasyarakatan di negara kita yang kaya dengan kepelbagaian agama dan
budaya.
Rakyat
juga berhak memuhasabah dan menghukum mana-mana pihak (termasuk
parti-parti politik) yang berniat jahat untuk merosakkan atau mencabar
kedaulatan Perlembagaan Malaysia.
Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
(IPeguam)
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
(IPeguam)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan