MALAYSIAKINI
Bekas menteri Umno, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan sama ada
tindakan Datuk Seri Najib Abdul Razak sepadan dengan penegasan perdana
menteri tidak bersalah dan tidak kena mengena dengan skandal 1MDB.
"Seseorang yang tidak bersalah tidak akan membataskan siasatan polis
hanya kepada aspek tertentu, pecat timbalannya, pecat Peguam Negara dan
lain-lain," kata Zaid dalam blognya hari ini.
Ujar beliau, walaupun begitu, mereka yang berhati batu tetap
mempertahankan perdana menteri dan menerima bulat-bulat setiap tutur
katanya.
"Di Malaysia, kita ada orang berhati batu yang tidak mahukan siasatan
polis yang bebas. Mereka lebih selesa jika ia tidak dilakukan atau
hanya dilaksanakan separuh jalan.
"Apa yang kita ada ialah mereka yang mengiyakan segala apa yang
dikatakan oleh perdana menteri sebagai benar. Apabila perdana menteri
kata ia adalah sumbangan Arab Saudi, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) akan menjawab: 'Ya, memang benar'.
"Ini bukan sesuatu penyiasatan, ia adalah tutup kes. Tutup sana, tutup sini, pecat sana pecat sini," jelas beliau lagi.
Tambah Zaid, mereka yang berhati batu dalam Umno dan PAS dengan
mereka seolah-olah tidak memahami apa yang perdana menteri telah
dilakukan.
Beliau menggesa mereka untuk membaca penemuan siasatan Biro
Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat yang memperincikan bagaimana lebih
AS$3.5 bilion boleh lenyap daripada 1MDB.
Baru-baru ini, Zaid menyeru Najib agar menyahut cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdebat di televisyen.
"Mengapa Najib takut untuk berdebat Tun M (Mahathir)?" tanya Zaid lagi.
"Saya fikir beliau sentiasa tenang dan yakin atas kesnya. Itulah yang
beliau beritahu (bekas Timbalan Perdana Menteri) Tun Musa (Hitam) dan
mereka lain yang rapat dengannya.
"Oleh itu, berilah kami rakyat biasa mendengar PM patahkan hujah Tun M satu demi satu," kata Zaid lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan