Selasa, 9 Ogos 2016

Umno Terengganu 'lega' tiada usul tak percaya terhadap MB

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA TERENGGANU: Umno Terengganu menarik nafas lega selepas tiada usul undi tidak percaya terhadap menteri besarnya dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
 
ADUN Air Putih Wan Abdul Halim Wan Mokhtar menyatakan kebimbangannya jika usul berkenaan dibawa dan tidak menolak kemungkinan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) boleh tumbang jika ada ahli parti yang lompat keluar.
 
"Saya secara peribadi bimbang jika ada perkara berlaku sebelum Sidang DUN. Dalam keadaan 17-15 (Umno-PAS), macam-macam boleh berlaku. Mana-mana ADUN sama ada pihak kerajaan atau pembangkang boleh mengisytiharkan mereka Bebas atau masuk mana-mana parti," demikian menurutnya dalam satu temubual bersama Antarapos.
 
Sebelum ini bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said didakwa bakal membawa usul tergempar berkenaan ketidakpercayaan terhadap Ahmad Razif Abdul Rahman.
 
Sidang DUN Terengganu yang diadakan semalam dikatakan panas memandangkan krisis yang berlarutan itu boleh membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di negeri berkenaan.
 
Pergeseran berterusan di antara Ahmad Razif dengan bekas penyandangnya kembali menghangatkan suhu politik di Terengganu.
 
Ia berikutan tindakan Ahmad Said yang memberi kata dua kepada Ahmad Razif agar berundur sebelum beliau mengambil langkah susulan yang akan merubah keadaan politik di negeri itu.
 
Bagaimanapun sehingga DUN ditangguhkan pada jam 12.35 tengah hari semalam menyaksikan usul yang digembar-gemburkan akan menggoyangkan kedudukan Ahmad Razif tidak dibawa ke dalam Sidang DUN.
 
Ujar wakil rakyat Umno itu lagi, kehangatan politik negeri boleh diredakan sekiranya pihak yang bertelagah mampu berfikir secara rasional terhadap apa yang berlaku pada ketika ini.
 
Wan Abdul Halim juga berpendapat Ahmad Said tidak berniat untuk mencetuskan keadaan yang lebih buruk meskipun kerap mengkritik dan menyerang Ahmad Razif.
 
"Hati dan perasaan manusia ini biasa. MB seperti ayah. Ahmad Said dan saya ini ibarat anak-anak. Mungkin beliau (Ahmad Said) boleh ambil tindakan yang lebih berkesan yang boleh membawa jalan baik dan beri kesan positif.
 
"Saya sendiri tidak rasa Ahmad Said hendak buat perkara yang menyusahkan rakyat dan parti. Mungkin cakap-cakap dan cubaannya termasuk provokasi. Kadang-kadang kita kena faham mengapa orang bertindak sedemikian, ada sebabnya," jelasnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: