MALAYSIAKINI
Seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan bergelar
Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai
atas kesalahan salah guna kuasa dan terlibat rasuah.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata lelaki itu ditahan hari
ini di pejabatnya iaitu sebuah syarikat perbankan pada 2 petang tadi di
ibu negara hasil maklumat orang ramai berhubung salah laku rasuah.
"Dia dipercayai terlibat dalam tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.
"Sebanyak RM15 juta telah diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan
milik orang yang mempunyai kepentingan dengan Datuk tersebut namun
sehingga kini tiada sebarang buku yang diterbitkan," katanya ketika
dihubungi Bernama.
Susulan itu, SPRM membekukan RM8.1 juta daripada beberapa akaun termasuk milik Datuk terbabit dan beberapa individu lain.
SPRM melancarkan operasi besar-besaran untuk menangkap mereka yang
menyalahgunakan kuasa dan mempunyai kehidupan melebihi kemampuan,
selaras dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad,
kepada Bernama baru-baru ini yang mahu membersihkan perkhidmatan awam
daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Pada 15 Ogos lalu, tiga penjawat awam - dua daripadanya bergelar 'Datuk'
dan 'Datuk Seri' - ditahan SPRM atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa
dan pengubahan wang haram.
Ketiga-tiga mereka yang masing-masing berkhidmat di jabatan kerajaan,
pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan ditahan di Kuala
Lumpur, Melaka dan Kelantan.
SPRM turut membekukan akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan
melebihi RM13 juta, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai
antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang yang ditahan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan