OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa menambah
baik proses bantahan pendaftaran pemilih supaya medium itu tidak
sewenang-wenangnya disalahgunakan bagi menafikan hak rakyat Malaysia
menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihanraya.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata
tindakan tegas juga perlu diambil SPR terhadap individu yang
mengemukakan bantahan itu tetapi enggan hadir Sesi Pendengaran Siasatan
Awam.
“SPR harus mengambil tindakan tegas terhadap pembantah yang tidak
hadir supaya mereka tidak berhak membantah orang berdaftar dengan SPR
pada masa akan datang.” katanya menerusi aplikasi Whatsapp.
Kee Hiong berkata demikian sebagai mengulas tindakan Azman Jaidi
sebagai pembantah yang gagal hadir ke Sesi Pendengaran Awam untuk
mengemukakan bukti bantahan terhadap 19 orang yang dimasukan ke dalam
daftar pemilih tambahan.
”
Azman sepatutnya hadir memberikan bukti kukuh kenapa membantah. Adakah
beliau (Azman) membantah secara sewenang-wenangnya dengan tujuan politik
bagi menafikan hak mengundi 19 orang itu?
” Saya dapati 19 orang kena bantah adalah penduduk Hulu Selangor.
Jelas sekali perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan menyusahkan orang
kena bantah,” katanya.
Pada masa yang sama, Kee Hiong mahu SPR mengenakan cagaran wang
setiap borang bantahan dikemukakan pembantah supaya proses bantahan
pendaftaran pemilih tidak disalahgunakan.
Katanya, hal itu akan mengurangkan kes bantahan sengaja ditimbulkan
pembantah sekali gus mengekang perbuatan bantahan tanpa sebarang alasan
kukuh.
“SPR harus menyemak alasan bantahan dengan teliti sebelum mengadakan Sesi Pendengaran Siasatan Awam.
“Kebanyakan alasan diberikan pembantah adalah alamat orang yang
dibantah diragui tetapi pembantah tidak mengemukakan bukti bagaimana
beliau meragui alamat rumah itu,” katanya.-nR-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan