Jumaat, 5 Ogos 2016

Penduduk mahu pengurusan dewan kembali kepada Kerajaan Negeri


OLEH LIZAWATI MADFA

SELAYANG: Barisan Nasional (BN) digesa mengembalikan semula pengurusan Dewan Orang Ramai di Kampung Lee Kim Sai kepada agensi Kerajaan Negeri.

Pegawai Perhubungan Perkampungan Daerah Gombak, Chee Chu Sang, berkata parti politik tidak berhak mentadbir dewan yang digazetkan sebagai kegunaan awam.

Katanya, agensi kerajaan seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) lebih sesuai menguruskan dewan orang ramai.

“Kita mahu MCA serah balik kepada JKKK supaya penduduk ada tempat sesuai untuk menjalankan segala aktiviti demi kebaikan penduduk.

“Kita bukan mahu menggunakannya untuk tujuan parti dan politik,” katanya kepada SelangorKini.

BN Selangor didakwa menyalahguna lapan dewan orang ramai di Rawang sebagai bangunan dan cawangan parti komponennya.

DSC_6862 kecil

Dewan berkenaan adalah Dewan MCA Desa Kuala Garing, Dewan MIC Kuala Garing, Dewan MCA Bukit Rawang Jaya, Dewan MCA Bandar Country Homes, Dewan MCA Taman Sri Hijau, Dewan Perpustakaan Kampung Sungai Terentang, Dewan MCA Kampung Lee Kim Sai dan Dewan Umno Bandar Country Homes.

Chu Sang berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) pernah menulis surat supaya menyerahkan kunci dan mengosongkan bangunan, namun diabaikan pihak berkaitan.

“Pengerusi Cawangan MCA pernah minta kita terima hakikat pilihan raya umum, jadi kita pun mahu dia buat yang sama, terimalah yang Selangor ditadbir Pakatan.

“Serah pada kita dewan yang memang hak kita. Jika Pakatan tewas dalam pilihan raya nanti, saya pasti kunci dewan akan diserah balik kepada kerajaan yang berhak,” katanya.-AA-

Tiada ulasan: