MALAYSIAKINI
Maybank tidak menolak kemungkinan Bank Negara Malaysia akan
menurunkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada
2.75 peratus tahun ini, kata Presiden Kumpulannya Datuk Abdul Farid
Alias.
Bank pusat, yang mengurangkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 3.0
peratus, dijadual mengadakan dua lagi mesyuarat dasar monetari tahun
ini.
"Kesan (daripada penurunan kadar) melibatkan beberapa perkara dalam
kunci kira-kira bank dan ke atas kadar pinjaman asas. Mengikut
statistik, pinjaman dengan kadar asas jelas akan menyaksikan pendapatan
faedah bersih yang lebih rendah.
"Dan, pada masa yang sama, dalam akaun bank, nilai pendapatan tetap
sebenarnya akan bergerak ke atas, dengan kesan bersih bergantung kepada
saiz akaun," katanya selepas mengumumkan keputusan kewangan bank itu
hari ini.
Pengurangan kadar faedah utama akan mengurangkan tekanan ke atas
peminjam yang boleh menyebabkan pinjaman tidak berbayar lebih rendah,
dan membawa pertumbuhan yang tinggi sedikit dalam permintaan untuk
kredit, katanya.
"Ia juga akan menggalakkan orang ramai meningkatkan penggunaan dan kesan
positif akan terdapat dalam pertumbuhan keseluruhan," katanya.
Berikutan penurunan kadar pada Julai, bank-bank di Malaysia telah
menyelaras kadar asas masing-masing.
Bagi Maybank, kadar asas diturunkan
sebanyak 20 asas mata kepada 3.00 peratus setahun daripada 3.20 peratus
sebelumnya dan kadar pinjaman asas kepada 6.65 peratus setahun daripada
6.85 peratus sebelumnya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan