Maher Zain
PENYANYI antarabangsa yang pernah menjadi fenomena
sekitar 2010, Maher Zain menyifatkan setiap lagu yang dibawanya sarat
dengan mesej kesatuan termasuk dalam album terbaharunya, ‘One’.
Menurut penyanyi kelahiran Lubnan ini, dengan suasana dunia mutakhir
ini di mana imej Islam terus tercalar, beliau cuba menyampaikan mesej
positif semampu mungkin demi membina dunia yang lebih baik.
‘One’ (Yang Satu) untuk orang Muslim adalah ALLAH SWT dan perpaduan
kita dalam satu dunia ini di mana kita tinggal di bawah satu bumbung
yang sama. ‘One’ juga bermaksud kesatuan sejagat dan satu ummah.
“Dalam masa sekarang dengan segala konflik yang berlaku hingga imej
Islam tercalar. Jadi, saya cuba menyampaikan mesej keamanan,
kebersamaan, jalani kehidupan dengan harmoni serta saya cuba menyumbang
sebanyak yang mungkin untuk menjadikan dunia ini lebih baik. Setiap
daripada kita patut juga melakukan itu dan dengan mana-mana cara
sekalipun yang kita mampu,” katanya ketika kunjungannya ke Kompleks
Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya alasan memilih ‘One’ sebagai tajuk bagi album ketiganya itu.
Berkongsi lagi, Maher Zain mengakui lagu-lagunya mampu mendekati bukan
sahaja golongan Islam malah ia juga menarik golongan bukan Islam.
“Alhamdulillah, kita bukan hanya berjaya mendekati orang Muslim malah
juga yang bukan Muslim. Saya juga banyak bekerja dengan pemuzik,
penerbit yang bukan Islam dalam album-album saya.
“Saya lihat banyak komen di Facebook dan YouTube malah yang datang ke
konsert saya pun ada yang bukan Islam. Tapi mereka menikmati muzik itu
dan rasa dekat dengan lirik lagu tersebut,” katanya.
Ketika kisah peribadinya dicungkil sedikit, Maher Zain akui isteri dan
dua anaknya sudah terbiasa dengan rutinnya yang sering berada di luar
negara untuk bekerja namun beliau sering menghubungi mereka melepaskan
kerinduan.
“Tapi, apabila di rumah, saya memang akan cuba habiskan masa dengan
keluarga sebaik mungkin. Menggunakan masa berkualiti itu bersama
mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan