Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Amanah mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat
berhubung perkembangan politik Terengganu yang dilanda krisis
kepimpinan, demikian kata Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub.
Ujarnya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila sidang DUN bermula
esok, memandangkan krisis yang berlarutan itu boleh membawa kepada
Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di negeri berkenaan.
"Saya rasa kita tunggu sampai esok kerana DUN Terengganu akan bersidang
dan ada pelbagai kemungkinan yang akan berlaku, mungkin ada undi tidak
percaya (terhadap Ahmad Razif).
"Mungkin ada usul yang dikemukakan oleh kumpulan dalam Umno itu
sendiri, jadi Amanah mengambil sikap untuk melihat dulu perkembangan itu
sehingga esok sebelum kita membuat apa-apa keputusan atau pendirian
tentang isu Menteri Besar Terengganu ini," katanya selepas selesai
mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Amanah di ibu pejabat parti, hari ini.
Krisis politik Terengganu kembali hangat apabila berlakunya pergeseran
antara Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan bekas menteri
besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Ia berikutan tindakan Ahmad Said yang memberi kata dua kepada Ahmad
Razif agar berundur sebelum beliau mengambil langkah susulan yang akan
merubah keadaan politik di negeri itu.
Dalam pada itu menurut Salahuddin, kemelut yang melanda Terengganu kini
hanya boleh diselesaikan sekiranya kerajaan Umno-BN setuju untuk
mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengukur sokongan rakyat terhadap
kerajaan negeri kini.
"Isu ini telah berlarutan agak lama dan saya yakin dan percaya isu ini
mampu diselesaikan segera sama ada diadakan pilihan raya negeri kerana
sekiranya isu itu tidak selesai bagaimana kerajaan negeri akan membuat
bajet negeri bagi tahun hadapan. Ia perlu kepada satu kerajaan baru
untuk meluluskan bajet tersebut," katanya.
Ahmad Said sebelum ini pernah membawa usul undi tidak percaya terhadap
Ahmad Razif pada sidang DUN, Mac lalu, namun ditolak Speaker, Datuk Mohd
Zubir Embong.
Beliau dikatakan sekali lagi akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif dalam sidang DUN yang bermula esok.
Malah beliau dalam kenyataan terbarunya menyatakan tidak berminat dengan pilihan raya negeri.
Sebaliknya menurut ADUN Kijal itu, beliau hanya ingin melihat
penggantinya, Ahmad Razif meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar
berkuat kuasa serta merta.
Ahmad Razif yang dipetik dari wawancara sebuah akhbar hari ini
bagaimanapun berkata, peletakan jawatannya tidak akan menyelesaikan
kemelut politik di negeri berkenaan.
Malah ADUN Seberang Takir itu turut berkata beliau tidak mempunyai
masalah malah tetap bersedia menghadapi PRN sekiranya keadaan 'memaksa'
dan bagi memastikan maruah parti tidak tercabar.
Amanah sentiasa buka pintu rundingan dengan PAS
Dalam pada itu, Salahuddin turut mengulas mengenai kenyataan Setiausaha
Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan di mana PAS Terengganu tidak akan
menyokong usul undi tidak percaya yang bakal dibawa Ahmad Said.
"Itu terpulang kepada PAS untuk melanjutkan idea itu dengan semua pihak
supaya objektif kita tercapai bukan setakat Terengganu tapi untuk
kepentingan rakyat selepas PRU akan datang.
"Perbincangan itu sentiasa terbuka, itu sikap yang Amanah jelaskan dari
awal lagi, dan kenyataan saya semalam dalam konteks yang lebih besar.
Iaitu untuk kita menghadapi Umno BN satu lawan satu dalam PRU akan
datang, itu penjelasan yang saya tegaskan daripada awal lagi," katanya.
Awal hari ini, Takiyuddin berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan
Ahmad Said untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN pimpinan Ahmad Razif.
Ujarnya, parti itu berpegang kepada pendirian bahawa proses untuk
memilih teraju negeri dan negara harus dilakukan melalui cara demokrasi
menerusi pilihan raya umum.
Namun begitu, Takiyuddin berkata, pihaknya sentiasa memerhati situasi
semasa sekiranya pilihan raya negeri tidak dapat dielakkan dan demi
kepentingan rakyat, PAS sentiasa bersedia menawarkan khidmat termasuk
menerajui kerajaan Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan