Isnin, 1 Ogos 2016

Cina patut mengamuk dengan eksploitasi Namewee, kata pendakwah

MALAYSIA DATELINE
 
 
Abdul Naser Tun RahmanAbdul Naser Tun RahmanMasyarakat Cina di negara ini sepatutnya mengamuk dengan sikap pengarah dan produser, Namewee yang sudah mendapat banyak keuntungan melalui cara menjatuhkan maruah bangsa Cina sendiri, tegas pendakwah Abdul Naser Tun Rahman.

Beliau yang dikenali sebagai Xifu Naser berkata, pemikiran 'xiao ren' (orang kerdil) tidak mencerminkan 'mindset' masyarakat Cina keseluruhannya seperti hasil ciptaan Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee itu.

Mengulas video lagu kontroversi terbaharu Namewee bertajuk 'Oh My God' itu, beliau berpendapat jika kaum Cina berdiam diri dan tidak mengambil tindakan tegas terhadap Namewee itu menggambarkan kiasu kapitalisme yang semakin melarat.

Xifu Naser yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dalam artikel terbaharunya turut mempersoalkan tujuan kononnya untuk membina harmoni antara para penganut agama di Malaysia seperti alasan Namewee dalam rakaman video berdurasi empat minit itu.

"Bagaimana bina harmoni bila Hinduisme dipinggirkan dan isu 'pisang' pula ditonjolkan? Apakah ajaran moral yang dibawa untuk bina harmoni?" soalnya dipetik dari akhbar Sinar Harian hari ini. 

Video yang dimulakan dengan azan Allahuakbar itu memaparkan empat individu mengenakan pakaian berlambangkan agama Islam, Kristian, Taoisme dan Buddhisme tanpa imej keagamaan Hinduisme.

Menurut Xifu Naser lagi, video itu mengandungi dialog murahan mengenai lelaki yang kecewa putus cinta kerana kekasihnya mendapat lelaki baharu yang lebih besar 'pisang' daripadanya dengan perkataan berkonotasi lucah itu disebut jelas dalam video tersebut.

Mengulas lanjut, ujar Xifu Naser lagi, video berkenaan membawa mesej bahawa Tuhan hanya berguna apabila seseorang dilanda masalah seperti isu 'pisang' lebih kecil, dimarahi bos dan pelanggan lari serta mengusir syaitan dan sial.

Tidak dapat pulang Malaysia

Dalam perkembangan berkaitan ketika meledak kontroversi video tersebut, Namewee dikatakan berada di Taiwan dan China pada masa ini sekaligus tidak dapat pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.

Akhbar Sin Chew Jit Poh semalam melaporkan Namewee tidak dapat memberi ulasan tentang video kontroversinya itu tetapi pada masa sama Pengurusnya, Xiao Zhu mmberitahu ciptaan Namewee itu "tidak mempunyai apa-apa niat jahat."

Kontroversi mengenai Namewee mula tercetus pada 2007 dengan rakaman video rap "Negarakuku" yang dilihat antara lain menghina azan Subuh.

Lelaki berasal dari Muar, Johor itu juga mencipta lagu berjudul 'Kawanku' dengan lirik antaranya, "Melayu balik hutan jadi sakai".

Walau bagaimana pun, Namewee pada 2011 muncul dengan filem sulungnya berjudul "Nasi Lemak 2.0" yang dikatakan sebahagian pihak sebagai membawa gagasan 1Malaysia.

Bahkan, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri pernah menganggap Namewee sebagai seorang pendukung kuat 1 Malaysia serta individu unik yang tidak konvensional dalam pemikiran dan kaedah menyampaikan idea.


Tiada ulasan: