Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Exco Selangor, Elizabeth Wong Keat Ping sekali lagi
menafikan berlakunya sebarang pengezonan semula tanah Paya Indah
Wetlands seperti yang didakwa Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia
(SAMM), Badrul Hisham Shahrin.
Menjelaskan status penukaran lot tanah yang dibangkitkan Badrul Hisham
atau Chegubard, Elizabeth memberitahu pengezonan semula lot tanah yang
dimaksudkan adalah milik syarikat swasta, Salak Land Development Sdn
Bhd.
Malah katanya, buat masa ini tidak berlaku sebarang pengezonan gunaan
tanah di lot 4827 dan 3974 milik Paya Indah Wetlands, seperti yang
didakwa.
"Apa yang di luar Lot 4827 dan 3974 (tidak termasuk Lot 68054) bukan di
dalam Paya Indah Wetlands Lot dengan pemilik (adalah) lain dan
sebagainya," kata Elizabeth dalam sidang medianya di DUN Selangor, hari
ini.
"Saya ingin tekankan bahawa kerajaan negeri Selangor tidak sekalipun
berniat untuk pelengkungan semula Lot 4827 dan 3974 seluas 450 hektar
yang telah diwartakan oleh Jabatan Perhilitan Pusat sebagai Rizab Tanah
Paya sejak 1998," katanya.
Tambah beliau, satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan
Persekutan dan Kerajaan Negeri berkenaan pengurusan dan pentadbiran
pemuliharaan Paya Indah Wetlands turut ditandatangani pada 1 Ogos 2007.
“Sejak MoU ditandatangani, tidak ada sebarang permohonan menukar kegunaan tanah Lot 4827 dan Lot 3974.
“Lot selain daripada dua lot yang disebut ini bukan Paya Indah Wetlands dan merupakan milik persendirian,” jelasnya.
Terdahulu, aktivis Chegubard mendakwa Kerajaan Negeri memulakan usaha
pelengkungan semula Paya Indah Wetlands di lot 68054 Mukim Tanjong Dua
Belas Kuala Langat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan