Sabtu, 6 Ogos 2016

Bersih 5 tak akan jejas imej negara selagi...'


Musa Hassan
Musa Hassan


SHAH ALAM – Penganjuran himpunan Bersih 5 di jalanan tidak akan menjejaskan imej negara selagi ia tidak bercanggah dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penganjuran himpunan itu yang dirancang pada hujung bulan ini.

Katanya, rakyat perlulah mengikut peraturan dan undang-undang Akta Perhimpunan Aman yang ditetapkan pihak berkuasa ketika menyertai himpunan tersebut.

“Kita tahu tujuan (himpunan) Bersih diadakan hanya untuk menyuarakan hak suara dan pendapat masing-masing.

“(Tetapi) kalau mereka (peserta) tak ikut peraturan undang-undang, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) yang diluluskan di Parlimen pada November 2011 adalah kerangka undang-undang berhubung hak perlembagaan warganegara untuk berhimpun.

Ia bertujuan bagi memastikan kebebasan individu untuk berhimpun secara aman, selaras dengan hak yang termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan, selain memastikan warganegara menganjurkan dan menyertai himpunan aman tanpa senjata dengan sekatan tertentu demi kepentingan dan keselamatan awam.

Katanya, kerajaan seharusnya membuktikan mereka terbuka dengan membenarkan rakyat turun menyuarakan hak masing-masing di jalanan.

“Sesiapa pun boleh komen apa-apa di negara ini. Kerajaan perlu bersikap terbuka.

“Banyak isu yang dibangkitkan sekarang yang sudah pun memberi kesan kepada imej negara, saya rasa satu lagi penganjuran himpunan tidak akan jejaskan apa-apa yang berkaitan dengan imej negara,” katanya lagi.


Tiada ulasan: