Rabu, 24 Ogos 2016

BERSIH 5 masih belum ada tarikh dan lokasi - Maria Chin

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Berbaki beberapa hari lagi untuk sambutan hari Merdeka ke-59 negara, penganjur BERSIH 5 belum memuktamadkan tarikh untuk mereka mengadakan himpunan berkenaan.
 
Menurut Pengerusi BERSIH 4.0 Maria Chin Abdullah, pihaknya juga masih belum menetapkan lokasi himpunan itu.
 
"Berikutan penganjuran Bersih 5, kami (pihak penganjur) masih belum tetapkan tarikh dan tempat, masih dalam perbincangan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
BERSIH tahun lepas mengadakan himpunan jalanan di ibu negara selama 34 jam bermula 29 Ogos 2015 dan hanya berakhir selepas laungan Merdeka berkumandang di Dataran Merdeka.
 
Sepanjang himpunan itu, peserta dihiburkan dengan nyanyian, pertunjukan muzik serta ucapan ahli politik, sekaligus menimbulkan tanda tanya, apakah matlamat utama himpunan itu diadakan.
 
Untuk rekod, penganjuran himpunan BERSIH yang pertama hingga kelima mempunyai matlamat yang berbeza.
 
Menurut penganjur, BERSIH 5 diadakan untuk mendesak kerajaan menjelaskan isu saman sivil yang dibuat Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat melibatkan dana yang diambil daripada syarikat strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Sebaik sahaja BERSIH mengumumkan akan mengadakan himpunan, Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Yunos pula berkata pihaknya juga akan menggerakkan himpunan Gerakan Baju Merah untuk bagi melawan himpunan BERSIH 5.
 
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang kemudiannya menawarkan khidmat mencari stadium yang sesuai untuk BERSIH 5 dan Gerakan Baju Merah bagi mengadakan perhimpunan berkenaan.
 
Tindakan kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu katanya bakal menimbulkan kekecohan selain merisikokan keselamatan orang awam sekiraya mengadakan himpunan jalanan di ibu kota.
 
 
 

Tiada ulasan: