Alumni 4B Selangor mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya memberi penjelasan mengenai status tanah Paya Wetland yang kini khabarnya telah ditukar kepada pembangunan.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Bhari Abd Rahman berkata, tanah tersebut tidak sepatutnya ditukar status kerana ia telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Warisan Dunia.
"Kami dapat maklumat daripada beberapa sumber yang boleh dipercayai mengatakan tanah tersebut telah ditukar statusnya kepada tanah pembangunan.
"Pertukaran status tersebut tidak langsung dibawa kepada pendengaran rakyat apa lagi untuk mendapatkan pandangan sama ada sesuai atau tidak.
"Bagaimana boleh ditukar statusya dan tindakan ini seperti ternyata telah menyalahgunakan kuasa yang ada pada Menteri Besar yang membuat kelulusan," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra petang tadi.
Jelas Ahmad Bhari, sebagai Menteri Besar, Mohamed Azmin seharusnya mendapatkan pandangan rakyat khususnya penduduk di kawasan terbabit sebelum membuat keputusan.
"Bukan dia (Mohamed Azmin) tidak tahu kawasan tersebut adalah kawasan hutan simpan dan juga kawasan tadahan air utama untuk Selangor.
"Lebih membimbangkan rakyat, jika kawasan tersebut dibangunkan, ia akan memberi kesan buruk seperti menjejaskan alam sekitar, menjejaskan kawasan tadahan air dan menyekat rezeki penduduk di Tanjung Dua Belas yang rata-rata adalah pekebun kecil," ujarnya.
Persoalan yang timbul kata Ahmad Bhari, apakah kerajaan negeri Selangor sudah melakukan kajian impak alam sekitar?
"Kita harap, Mohamed Azmin dapat memberi penjelasan sepenuhnya mengenai status tanah tersebut dan perkara ini juga akan dibawa pada sidang Dewan Undangan Negeri oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang sedang berlangsung sekarang.
"Sekiranya Mohamed Azmin tidak memberi sebarang penjelasan dalam tempoh terdekat ini, pihak kami akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk membuat semakan kehakiman dan seterusnya membatalkan tindakan tukar status yang dibuat oleh kerajaan negeri," tegasnya. - Malaysia Gazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan