KUALA LUMPUR, Orang ramai umumnya menyambut baik keputusan kerajaan mewartakan taman awam kecuali tempat letak kereta terbuka sebagai kawasan larangan merokok.


Tinjauan The Rakyat Post mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui bersetuju dengan keputusan itu walaupun akan dikuatkuasa dan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun hadapan.

Kartina Khamsin berpendapat, tindakan itu wajar dilaksanakan atas beberapa sebab antaranya faktor kesihatan dan keselesaan orang ramai.

Jelasnya, tindakan perokok yang tidak menghiraukan keadaan orang sekeliling akan mengakibatkan kesan buruk kepada orang ramai yang berada berhampirannya.

Terutamanya melibatkan kanak-kanak, orang tua serta wanita mengandung.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu sememangnya disambut baik kerana dilihat akan melindungi orang ramai daripada terjebak dengan masalah kesihatan terutamanya kanak-kanak apabila berada di taman awam.

“Sepatutnya kerajaan wartakan dari dulu lagi kerana ini bukan perkara baharu namun saya menyambut baik tindakan ini.

“Apabila sebut taman awam saya fikir ia akan memberi kesan baik kepada kanak-kanak khususnya yang boleh bermain dengan baik tanpa menyedut asap rokok,” jelasnya kepada The Rakyat Post.

Kartina yang juga pengerusi penduduk di salah sebuah taman perumahan di ibu kota berkata, langkah kerajaan itu memberi ilham kepadanya untuk turut melaksanakan zon larangan merokok di taman permainan di kawasan perumahan itu.

“Saya merancang untuk kemukakan usul ini dalam mesyuarat bersama penduduk minggu hadapan. Ini satu cadangan yang sangat baik,” ujarnya.

Sementara itu bagi pegawal keselamatan, Ramlee Mohammad, keputusan kerajaan itu dilihat satu langkah yang baik kepada masyarakat meskipun dia merupakan seorang perokok.

Menyedari kesan buruk asap rokok terhadap orang sekelilingnya, Ramlee mengakui pelaksanaan untuk meletakkan taman awam sebagai zon merokok adalah wajar.

“Saya fikir ia bagus. Mungkin juga akan beri kesedaran kepada kami sebagai perokok untuk lebih peka tentang orang sekeliling terutama kanak-kanak.

“Kalau boleh kami tidak mahu melibatkan orang lain, cukuplah hanya kami yang terkena kesannya,” katanya.

Selain daripada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam laporan media sebelum ini berkata, kedai makan atau restoran berhawa dingin juga telah dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok.

Ini membatalkan peraturan sebelum ini yang membenarkan satu pertiga daripada kawasan restoran sebagai zon merokok.

“Keseluruhan tempat makan berhawa dingin adalah tempat dilarang merokok. Kebenaran satu per tiga daripada tempat makan berhawa dingin di bawah Peraturan 21 adalah dimansuhkan,” katanya.